Festival Kaligrafi pupuk bakat penulis khat muda

Festival Kaligrafi pupuk bakat penulis khat muda

MUHAMMAD Al Amin Muhammad Adli menunjukkan kemahirannya menghasilkan tulisan khat semasa ditemui baru-baru ini dalam satu Festival Kaligrafi Islam Terengganu di Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minat mendalam terhadap seni khat sejak di bangku sekolah membuahkan hasil buat dua pelajar apabila masing-masing dinobatkan sebagai johan kategori Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah pada Festival Kaligrafi Islam Terengganu Kali Kedua Peringkat Kebangsaan.

Bagi kategori SK, Muhammad Al Amin Muhammad Adli, 12, daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar, di sini, muncul johan selepas menghasilkan tulisan khat Nasakh berdasarkan surah An-Nas dalam tempoh kira-kira dua jam setengah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Murid daripada Kampung Bukit Besar itu berkata, penyertaan pada festival berkenaan merupakan kali keempat dia menyertai pertandingan khat, malah pernah meraih johan peringkat daerah sebanyak tiga kali.

“Saya tidak menya

ngka dapat menjadi johan kerana ramai peserta lain juga mempunyai kemahiran dalam seni khat.

“Saya memilih khat Nasakh untuk menghasilkan Surah An-Nas dan cuba menyiapkannya sebaik mungkin dalam tempoh yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hayy Luqman Mohd Zukri, 15, dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun, dinobatkan sebagai johan Kategori Sekolah Menengah dengan menghasilkan karya menggunakan khat Thuluth dan Nasakh berdasarkan Surah al-Ahzab.

Muhammad Hayy Luqman berkata, dia mula menyertai pertandingan khat sejak sekolah rendah dan sudah beberapa kali mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.

“Saya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menyiapkan karya ini dan bersyukur apabila diumumkan sebagai johan serta menerima hadiah wang tunai RM700,” katanya.

Dalam kategori Sekolah Kebangsaan Terbuka Spontan pula, Mohammad Hanif Daris Nurul Hafizan, 11, daripada SK Alor Peroi, Besut, meraih tempat kedua.

Mohammad Hanif berkata, dia sudah beberapa kali menyertai pertandingan khat dan menggunakan khat Nasakh dalam menghasilkan karya pada pertandingan tersebut. Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, penyertaan dalam pertandingan khat memberi peluang kepadanya untuk meningkatkan kemahiran serta menambah pengalaman dalam seni berkenaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, penganjuran Festival Kaligrafi Islam Terengganu yang memasuki tahun kedua menunjukkan perkembangan positif menerusi peningkatan penyertaan dan mutu karya yang dihasilkan.

Menurutnya, sambutan peserta dari negeri-negeri lain termasuk Selangor dan Kelantan juga semakin menggalakkan, malah terdapat peserta yang kembali menyertai festival tersebut buat kali kedua.

“Dari segi mutu hasil, kita nampak jauh lebih baik pada tahun ini dan ini satu perkembangan yang baik, termasuk penyertaan dalam kalangan pelajar yang merupakan antara sasaran kita supaya minat terhadap seni khat terus dikembangkan.

“Kita harapkan pada tahun-tahun akan datang mereka akan terus bersama kita,” katanya.

Menurutnya, usaha memperkenalkan dan mengembangkan seni khat tidak seharusnya terhad kepada penganjuran pertandingan, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat.

 

Katanya, terdapat peserta daripada Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) serta sekolah kebangsaan biasa yang menunjukkan bahawa bakat seni khat boleh dicungkil melalui pelbagai institusi pendidikan.

“Yang penting, kita harap warisan ini tidak hilang dan akan terus berkembang pada masa akan datang. Gunakan platform digital dan teknologi moden untuk menyebarluaskan keindahan kaligrafi Islam ke peringkat antarabangsa.

“Guru, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memberi sokongan sejak peringkat awal untuk mencungkil bakat mereka, manakala dunia digital juga boleh menjadi medium untuk mendekatkan generasi muda dengan seni khat,” katanya.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Persatuan Seni Khat Terengganu (PIKAT), itu berjaya menarik penyertaaan 471 peserta.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini