SERAMAI 79 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri, Perak Tengah menyertai Program Cakna Kecemerlangan Pelajar Madani 2026 di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Program anjuran, Pertubuhan Prihatin Pendidikan Masyarakat Parit Perak itu diadakan sebagai persediaan akhir bagi calon berkenaan sebelum menduduki peperiksaan SPM yang bermula pada 26 Oktober ini.
Guru Kanan SMK Lambor Kiri, Siti Hawa Jaafar berkata, program sehari itu berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dengan pengisian beberapa slot pembelajaran melibatkan subjek Sejarah, Pendidikan Islam dan Kenegaraan.
Menurutnya, program berkenaan diakhiri dengan sesi bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din.
“Program ini sangat diperlukan pelajar sebagai persiapan akhir sebelum mereka menduduki peperiksaan SPM yang tidak sampai sebulan lagi.
“Respons pelajar sangat positif kerana peperiksaan SPM semakin hampir. Melalui program ini, kita dapat melihat mereka sudah bersedia, mempunyai matlamat dan berusaha meningkatkan prestasi daripada A kepada A+, selain membantu pelajar yang gagal untuk mencapai keputusan lulus, “ ujarnya.
“Mereka tahu untuk mengejar cita-cita dan sasaran. Program ini turut membuka peluang kepada mereka untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Siti Hawa berkata, pihak sekolah berbangga kerana mendapat sokongan daripada masyarakat dan kerajaan negeri dalam usaha membantu kecemerlangan akademik pelajar.
Sementara itu, pelajar yang menyertai program berkenaan menyifatkannya sebagai platform yang membantu memperkemaskan persediaan mereka menghadapi peperiksaan SPM.
Muhammad Afiq Mohd. Azhar berkata, program itu membantu persediaannya terutama dalam menjawab soalan yang memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
“Program ini menambah kefahaman saya dalam menjawab soalan selain mempelajari teknik menjawab supaya jawapan dapat dianalisis dengan baik oleh pemeriksa,” katanya.-UTUSAN










