KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) dimeterai menjelang akhir Jun 2027.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, FTA berkenaan akan menjadi perjanjian perdagangan bebas ke-18 Malaysia, sekali gus memperluas akses pasaran negara di peringkat global.
Katanya, langkah berkenaan bagi memperkukuh lagi kedudukan ekonomi negara sebagai ekonomi terbuka yang konsisten memperluaskan akses pasaran global.
“Rundingan dua hala bersama pihak EU kini telah melalui pusingan kelima dan menunjukkan perkembangan yang amat positif.
“Kira-kira 80 peratus daripada terma rundingan telah pun berjaya diselesaikan, manakala baki 20 peratus lagi merupakan perbincangan lanjut yang melibatkan kedua-dua pihak.
“Saya yakin baki isu yang tinggal itu dapat diselaraskan dalam masa terdekat memandangkan wujud komitmen jitu daripada kedua-dua belah pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Hari Perniagaan Kesatuan Eropah-Malaysia 2026: Selangor Menjadi Tumpuan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Turut hadir, Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Daerr dan Pesuruhjaya Eropah bagi Kerjasama Antarabangsa, Jozef Sîkela.
Mengulas mengenai pasaran blok berkenaan, Johari berkata, EU merupakan pasaran yang amat penting bagi Malaysia dan rantau ASEAN secara keseluruhan.
“Berdasarkan rekod tahun lalu, jumlah keseluruhan perdagangan antara Malaysia dan 27 negara anggota EU mencecah kira-kira AS$50 bilion (RM228.1 bilion)
“Daripada jumlah tersebut, nilai eksport Malaysia menyumbang kira-kira AS$30 bilion (RM129.3 bilion) manakala import dari EU mencatatkan nilai sebanyak AS$24 bilion (RM98.9 bilion),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, isu minyak sawit bukan lagi garis merah dalam rundingan FTA bersama pihak EU.
“Ini kerana syarikat perladangan tempatan utama telah pun bersedia untuk mematuhi peraturan penebangan hutan EU (EUDR) serta piawaian pematuhan yang ditetapkan.
“Menerusi penyertaan blok ekonomi utama dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), China dan EU, Malaysia komited untuk terus memanfaatkan rangkaian perdagangan terbuka ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, Belanjawan 2027 telah menetapkan hala tuju kerajaan persekutuan untuk melonjakkan sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga baharu dan ekonomi digital.
“Selangor adalah sebahagian daripada dorongan tersebut apabila negeri ini komited memperuntukkan RM50 juta kepada dana pelaburan baharu bersama Khazanah Nasional dan kerajaan Pulau Pinang bagi membangunkan ekosistem semikonduktor,” ujarnya. – UTUSAN











