MANILA: Sebuah pesawat milik Biro Perikanan Filipina dilaporkan telah didekati oleh helikopter tentera laut China semasa rondaan berhampiran beting Scarborough yang menjadi pertikaian.
Majlis Keselamatan Negara (NSC) Filipina berkata, situasi itu menambahkan lagi ketegangan dalam pertikaian wilayah yang berlarutan antara kedua-dua negara tersebut.
“Ini merupakan pertembungan baharu dalam siri konfrontasi udara dan laut antara kedua-dua negara, yang telah lama bersengketa mengenai kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
“Beting Scarborough yang telah dikuasai oleh pengawal pantai China selama lebih sedekad, menjadi salah satu titik pertikaian utama di Asia,” kata NSC.
NSC Filipina menegaskan tindakan China melanggar peraturan keselamatan penerbangan antarabangsa, dan menyifatkan kejadian itu sebagai ancaman keselamatan.
Berdasarkan tafsiran China terhadap peta lama, negara itu menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk beting Scarborough yang kaya dengan hasil perikanan dan terkenal dengan lagun biru kehijauannya.
Beting tersebut terletak kira-kira 200 kilometer dari pantai Filipina, di dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) negara itu.
Pada 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap memutuskan tuntutan China tidak disokong oleh undang-undang antarabangsa, namun Beijing sehingga kini enggan mengiktiraf keputusan tersebut.
Walaupun mahkamah tidak menentukan kedaulatan ke atas beting Scarborough, ia mengesahkan kawasan itu merupakan tempat tradisional untuk aktiviti perikanan beberapa negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro, mendesak China supaya menarik balik kapal-kapalnya dari EEZ Filipina dan menuduh Beijing cuba campur tangan dalam aktiviti pertahanan negaranya.
Teodoro turut membidas China kerana membantah penggunaan sistem pelancar peluru berpandu jarak sederhana milik Amerika Syarikat dalam latihan ketenteraan Filipina.
China sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap penempatan sistem peluru berpandu Typhon di Filipina, menuduh Washington mencetuskan perlumbaan senjata di rantau itu.
Namun, Ketua Angkatan Tentera Filipina, Romeo Brawner, menegaskan jika diberi pilihan, beliau mahu sistem Typhon kekal di Filipina selama-lamanya. -AGENSI










