Ram Karpal, Takiyuddin antara anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen

Ram Karpal, Takiyuddin antara anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dipersetujui Dewan Rakyat untuk menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, hari ini.

Mereka ialah Ram Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pelantikan itu dipersetujui Jawatankuasa Pemilih pada 13 Oktober lalu selaras dengan Seksyen 3 (2) (f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bahawa Jawatankuasa Pemilih mengikut peraturan Mesyuarat 76 dengan ini menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan baginya oleh Seksyen 3 (2) (f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi menamakan ahli-ahli Dewan Rakyat yang akan menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen yang mengandungi empat orang ahli Dewan Rakyat yang dua orang ialah ahli kerajaan dan dua orang ialah ahli kumpulan pembangkang.

“Jawatankuasa Pemilih pada 13 Oktober telah bersetuju untuk mencadangkan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen.

“Oleh itu, bahawa mengikut Seksyen 3 (2) (f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, empat ahli Dewan Rakyat yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilih seperti di perenggan atas hendaklah diterima dan dipersetujui,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, usul itu tidak perlu dibahaskan kerana kedua-dua pihak bersetuju dengan keempat-empat nama.

“Dewan telahpun mendengar usul yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan sepatutnya masalah sekarang dibuka untuk dibahaskan.

“Namun, oleh kerana saya difahamkan dan saya mengesahkan semalam dengan kedua-dua belah pihak telahpun bersetuju atas keempat-empat nama ini, maka saya kira perbahasan tidak perlu diadakan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini