Tiada pemilihan parti  pada PAU 2024 - Asyraf Wajdi - Utusan Malaysia

 Tiada pemilihan parti  pada PAU 2024 – Asyraf Wajdi

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada pemilihan parti akan dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada  21 Ogos ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata, perhimpunan kali ini akan lebih memfokuskan kepada  soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

‘’Saya rasa lambat lagi kita akan adakan  pemilihan. Biasanya orang UMNO ini selagi bukan tahun pemilihan dia tidak membicarakan soal ini.

‘’Bagus juga sebenarnya dari segi bahagian-bahagian, saya rasa yang timbulkan satu bahagian dan bahagian-bahagian lain tidak timbulkan (isu ini).

‘’Tradisinya begitulah dalam UMNO ini, dan seperti yang saya katakan tadi bagusnya dan positifnya kerana kebanyakan bahagian-bahagian akan memfokuskan soal kebajikan dan soal kesejahteraan rakyat,’’ kata beliau.

Asyraf berkata demikian dalam Sidang Media Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Auditorium UMNO, Aras 4, Menara Dato Onn WTC, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah, Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi dan  Exco Pemuda UMNO, Mohd. Hafiz Ariffin.

Pada Mac 2023, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ahmad Zahid berkata, UMNO telah menerima surat bertarikh 3 Mac 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan bahawa RoS telah menerima usul yang diluluskan oleh PAU.

Asyraf  berkata, PAU  kali ini akan menjadi medan untuk muhasabah selain parti terbuka untuk mengkritik secara konstruktif bagaimana kepimpinan menteri, timbalan menteri, Pengerusi  Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi dan sebagainya.

“Ini kerana sama ada ia efektif dan berkesan dalam memanfaatkan keberadaan UMNO dalam Kerajan Perpaduan untuk rakyat atau sebaliknya,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×