KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Miroslav Kuljanac mendedahkan bahawa persiapan pasukannya menentang Kaya FC-Iloilo dalam saingan Kumpulan B Shopee Cup telah dibantu oleh penyerang import dari Filipina, Patrick Reichelt.
Menurut Kuljanac, Reichelt, 36, bukan sahaja mempunyai pengalaman luas dalam liga Filipina, malah beliau pernah beraksi untuk dua kelab pesaing Kaya FC, iaitu Global FC dan Ceres-Negros.
Ini memberikan kelebihan kepada KL City untuk mendapatkan maklumat berguna mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan lawan.
“Reichelt mengenali pemain-pemain mereka dengan baik kerana pernah bermain bersama dalam pasukan kebangsaan Filipina.
“Beliau telah memberi saya beberapa maklumat penting, dan kita akan lihat bagaimana ia membantu dalam perlawanan nanti,” kata Kuljanac dalam sidang media pra-perlawanan KL City-Kaya FC.
Walaupun beraksi di gelanggang sendiri, Kuljanac menegaskan bahawa beliau tidak memandang rendah cabaran Kaya FC yang pernah beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24.
Justeru, beliau berharap The City Boys dapat mempamerkan prestasi terbaik untuk mengutip tiga mata penuh dalam Kumpulan B.
“Saya perhatikan mereka sangat berdisiplin dari segi taktikal, terutama ketika bertanding dalam Liga Juara-Juara AFC tahun lepas. Sekarang kita tahu siapa yang kita akan lawan,” tambahnya.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Kaya FC, Yu Hoshide berkata, persiapan pasukannya berjalan lancar menjelang aksi berdepan KL City FC.
“Persiapan pasukan kami berjalan dengan baik dan kami melihat KL City FC bukanlah pasukan yang boleh kami pandang rendah.
“Kami sedar pemain KL City seperti Patrick Reichelt beraksi untuk pasukan ini. Satu mata mungkin sudah memadai, tetapi kami hadir dengan tujuan untuk mendapatkan tiga mata,” katanya,” katanya. – UTUSAN










