Konflik Asia Barat cetus kebimbangan, pengaruhi harga minyak global - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat cetus kebimbangan, pengaruhi harga minyak global

KONFLIK Iran-Israel di Asia Barat dijangka berpanjangan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Konflik rantau Asia Barat mencetuskan kebimbangan baharu apabila kem tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq diserang dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima anggota cedera.

Reuters memaklumkan se­rangan dipercayai berkaitan dengan pembunuhan Ketua Biro Politik dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh serta Komander Kanan Kumpulan Hizbullah, Fuad Shukr pada minggu lalu.

Ketegangan itu bukan sahaja menjejaskan keamanan rantau apabila kebanyakan negara mengeluarkan amaran perjalanan ke Israel dan Lubnan, malah mempengaruhi harga minyak mentah yang meningkat hampir AS$1 (RM4.45) semalam.

Ia susulan niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$0.76 atau satu peratus kepada AS$77.06 setong berbanding kelmarin AS$75.39, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$0.92 atau 1.2 peratus kepada AS$72.03 berbanding AS$72.03.

Malah Reuters melaporkan, kedua-dua penanda aras tersebut jatuh sekitar satu peratus semalam berikutan penurunan pasaran saham global.

Perubahan harga minyak itu juga disebabkan kebimbangan tindak balas Iran terhadap pembunuhan Ismail di Teheran yang mungkin membawa kepada perang yang lebih teruk di Asia Barat.

Terdahulu, seorang pegawai AS memaklumkan sekurang-kurangnya lima anggota tentera negera itu cedera dalam satu serangan di kem tentera di Iraq.

Dua roket jenis Katyusha disasarkan kepada pangkalan udara Ain Al-Assad di barat Iraq, menurut pegawai keselamatan Iraq dengan salah satu roket itu jatuh ke pangkalan tersebut.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada serangan itu mempunyai kaitan dengan Iran susulan dua kejadian dua pembunuhan sebelum ini.

AS kini sedang memantau situasi ekoran kemungkinan tindak balas dilakukan Iran berhubung kematian pemimpin Hamas di samping konflik Israel dan Hamas di Gaza.

Kelmarin, negara itu menambah kekuatan ketenteraan tambahan di Asia Barat sebagai langkah pertahanan dan untuk mengurangkan ketegangan di rantau itu, kata seorang pegawai Rumah Putih.

Sebelum ini, terdapat kebimbingan susulan perang Israel-Hamas di Gaza yang bermula pada Oktober tahun lalu selepas serangan boleh meningkat kepada konflik yang lebih teruk. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN