WASHINGTON DC: Amerika Syarikat (AS) mengerahkan kekuatan ketenteraan tambahan di Asia Barat sebagai langkah pertahanan dengan matlamat untuk mengurangkan ketegangan di rantau itu, kata seorang pegawai Rumah Putih.
Ketegangan serantau meningkat berikutan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh pada Rabu di Tehran sehari selepas serangan Israel di Beirut yang membunuh Komander Kanan Hizbullah, Fuad Shukr.
Terdapat kebimbingan susulan perang Israel terhadap Hamas di Gaza yang bermula pada Oktober lalu selepas serangan ke atas Yahudi boleh meningkat kepada konflik di Asia Barat yang lebih meluas.
Iran dan Hamas menyalahkan Israel atas pembunuhan Ismail di ibu negara Iran manakala Hizbullah pula telah berikrar untuk membalas dendam walaupun Israel tidak mengaku atau menafikan bertanggungjawab atas insiden tersebut.
Presiden AS, Joe Biden dikatakan memanggil penasihat keselamatannya untuk membincangkan perkembangan tersebut, kata Rumah Putih sambil menambah bahawa beliau akan bercakap dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II.
Media tempatan melaporkan bahawa Setiausaha AS, Antony Blinken memberitahu rakan sejawatannya dan negara G7 bahawa Iran dan Hizbullah akan menyerang Israel seawal Isnin, memetik tiga sumber yang diberi taklimat mengenai panggilan itu.
Tetapi menurut sumber itu, Blinken tidak jelas bagaimana Iran dan Hizbullah akan menyerang dan tidak mengetahui masa yang tepat.
Pentagon berkata pada Jumaat bahawa ia akan mengerahkan jet pejuang tamahan dan kapal perang tentera laut ke wilayah itu.
“Matlamat keseluruhan adalah untuk menurunkan suhu di rantau ini, menghalang dan bertahan daripada serangan tersebut, dan mengelakkan konflik serantau,” demikian menurut Jonathan Finer, timbalan penasihat keselamatan negara Rumah Putih pada program “Face the Nation” CBS.
Tambah beliau, Amerika Syarikat dan sekutu rapatnya Israel sedang Bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.-REUTERS










