ISTANBUL: Beberapa negara melarang perjalanan ke Israel dan Lubnan serta meminta rakyat masing-masing untuk segera meninggalkan kedua-dua negara itu dengan segera.
Terbaharu, pihak berkuasa Kanada meminta rakyat negaranya untuk mengelakkan perjalanan ke Israel susulan ketegangan konflik di Asia Barat selepas Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) meminta rakyat meninggakan segera Lubnan.
Malah beberapa syarikat penerbangan dari AS, Belanda, India, UK, Jerman, Switzerland, Itali, Greece, Perancis dan Poland mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan ke Israel dan Lubnan atas sebab keselamatan.
Memetik laporan agensi The Canadian Press, menurut satu nasihat perjalanan yang dikeluarkan semalam mengatakan peningkatan dalam konflik bersenjata di Israel boleh menjejaskan orang ramai untuk meninggalkan negara itu dengan penerbangan komersial.
Sambil menambah mereka tidak harus bergantung kepada kerajaan Kanada untuk membantu berpindah.
Selain itu, kenyataan menambah, warga Kanada dan penduduk tetap di Israel, Tebing Barat dan Gaza serta pasangan dan anak mereka harus memastikan dokumen perjalanan mereka dikemas kini sekiranya langkah proses pemindahan diperlukan segera.
Kelmarin, Kedutaan AS di Beirut memaklumkan bahawa penerbangan oleh beberapa syarikat penerbangan telah dibatalkan, tetapi pilihan pengangkutan komersial masih tersedia, lapor Agensi Anadolu.
Selain itu, UK terus menasihatkan agar rakyatnya tidak melakukan perjalanan ke Lubnan dan warga Britain yang masih berada di negara itu untuk pulang sementara penerbangan komersial masih tersedia.
UK menghantar pegawainya ke Asia Barat termasuk Lubnan untuk memberi sokongan tambahan kepada kakitangan kedutaan sebagai sebahagian daripada perancangan persediaan kerajaan terhadap pelbagai kemungkinan senario konflik, dengan ketegangan serantau yang semakin meningkat.
Lubnan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan kesiapsiagaan tentera yang tinggi selepas serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut pada Selasa mengakibatkan kematian pemimpin kanan Hezbollah, Fuad Shukr.
Kebimbangan meningkat mengenai perang antara Israel dan kumpulan penentang Lubnan di tengah-tengah serangan rentas sempadan yang berlarutan selama beberapa bulan.- AGENSI










