PETALING JAYA: Konflik Iran-Israel melonjakkan harga emas dan minyak mentah ke paras tertinggi baharu dalam sehari.
CIMB Treasury and Markets Research berkata, peningkatan konflik di Asia Barat menunjukkan harga emas meningkat melepasi paras tertinggi baharu AS$2,420 (RM11,537.30) seauns, sebelum menyusut kepada AS$2,350 (RM11,203.60).
Katanya, harga minyak mentah Brent pula mengimbangi paras tertinggi harian pada AS$92.0 (RM439.53) setong untuk ditutup hanya 0.8 peratus lebih tinggi pada AS$90.5 (RM432.36) setong.
Dalam pada itu, CIMB Treasury and Markets Research berkata, hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) jatuh mendadak dengan aktiviti penutupan pendek yang menguatkan rali selepas kerugian besar pada Rabu lalu.
“Hasil dua tahun turun tujuh mata asas (bps) kepada 4.90 peratus selepas menghampiri paras 5.00 peratus, manakala hasil 10 tahun ditutup tujuh bps lebih rendah selepas melepasi paras 4.50 peratus ketika dagangan harian sebelum ia mengurangkan keuntungan,” ujarnya dalam satu nota penyelidikan.
Jelas firma penyelidikan itu, Indeks dolar Amerika Syarikat (AS) (DXY) meneruskan keuntungan untuk sesi ketiga berturut-turut untuk mencapai paras 106.0.
“Paras itu merupakan paras tertinggi sejak Oktober di tengah-tengah jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.
Tambahnya, pengukuhan dolar AS turut menimbulkan masalah bagi mata wang G10 yang merosot 0.4 peratus hingga 1.5 peratus dengan euro jatuh sebanyak 0.8 peratus di tengah-tengah keyakinan pasaran yang semakin meningkat terhadap pemotongan kadar Bank Pusat Eropah (ECB) pada Jun.
“Yen Jepun kekal tidak berubah pada sekitar 153.0 berbanding dolar AS iaitu terendah dalam kira-kira tiga dekad, manakala mata wang serantau merosot berbanding dolar AS dengan dolar Singapura susut 0.6 peratus.
Katanya, bagaimanapun, ringgit meningkat 0.5 peratus melepasi paras 4.77 selepas dagangan dibuka semula.
“Bagi Yuan China pula jatuh 0.2 peratus di tengah-tengah jangkaan bahawa People’s Bank of China (PBOC) membiarkan kadar pinjaman jangka sederhana satu tahun tidak berubah,” katanya. – UTUSAN










