Era Nanthakumar bermula positif

Era Nanthakumar bermula positif

AKSI pemain Negeri Sembilan FC ketika berdepan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Nanthakumar menganggap keupayaan anak-anak buahnya mengikat Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-2, kelmarin sebagai permulaan baharu kepada pasukannya bagi melakukan perubahan positif selepas ini.

Bekas tonggak pertahanan kebangsaan itu berkata, tidak banyak perkara yang mampu dilakukannya bagi menghadapi perlawanan itu memandangkan dirinya baru dua hari dilantik ke jawatan tersebut bagi menggantikan Azzmi Ab. Aziz.

Katanya, para pemain dilihat memberikan 100 peratus dalam perlawanan itu untuk terlebih dahulu mendahului perlawanan, sebelum kembali mengikat perlawanan setelah ketinggalan 2-1 pada separuh masa kedua.

“Sebelum datang ke sini saya katakan kepada pemain bahawa tiga mata itu bonus dan satu mata sudah cukup menggembirakan saya. Apatah lagi kita bermain di Stadium Darul Aman menentang KDA FC yang diketahui umum, sebuah pasukan cukup bagus.

“Dalam tempoh dua hari mengemudi pasukan, saya tidak mampu melakukan perubahan drastik kepada pasukan. Satu mata ini sebenarnya memang berharga buat kami,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, tempoh rehat selama sebulan selepas ini bakal dijadikan medan untuknya melakukan beberapa perubahan yang dirasakan mampu meningkatkan lagi prestasi pasukan.

“Banyak perubahan yang saya mahu lakukan dan disebabkan itu, banyak jugalah kerja yang perlu dilakukan. Dalam tempoh rehat sebulan ini, ada dua atau tiga perlawanan persahabatan sudah diatur. Di situlah kita akan melihat kesesuaian perubahan yang akan dilakukan,” katanya.

Sementara itu Nanthakumar berkata, dia juga sudah memulakan perbincangan bersama pihak pengurusan mengenai perubahan pemain menjelang jendela perpindahan kedua.

“Kami dah berbincang dan pihak pengurusan memberi komitmen bahawa mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk melakukan apa-apa perubahan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN