NSFC curi tumpuan, JDT masih bergelut

NSFC curi tumpuan, JDT masih bergelut

Pemain Negeri Sembilan FC meraikan jaringan gol Mio Tsuneyasu dalam aksi bola sepak Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, kelmarin. Negeri Sembilan menang 2-1. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minggu kedua Liga Super musim ini memperlihatkan kebangkitan luar biasa Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila menundukkan Selangor FC 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sekali gus menjadi tumpuan utama saingan hujung minggu lalu.

Lebih manis, kemenangan itu turut disaksikan dengan kehadiran penonton paling ramai iaitu 25,550 orang yang memenuhi stadium, menjadikan NSFC pasukan paling tinggi jumlah sokongan minggu ini.

Kebangkitan NSFC dipacu pemain gantian, Mio Tsuneyasu yang muncul wira dengan dua gol, sekali gus memastikan tiga mata penuh buat skuad Hobin Jang Hobin.

Untuk rekod, musim lalu menyaksikan NSFC menamatkan saingan Liga Super dikedudukan kedua tercorot manakala Selangor muncul naib juara.

Sementara itu, JDT yang tampil dengan wajah baharu di bawah kendalian Xisco Munoz dilihat masih bergelut menyesuaikan diri.

Beraksi di Stadium Negeri, Kuching, skuad Harimau Selatan hanya menang tipis 1-0 ke atas Kuching City dengan disaksikan 12,705 penonton, menyaksikan ia jumlah kedua tertinggi minggu ini.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, mengakui perlawanan menentang Kuching City FC bukan tugas mudah, namun tetap berpuas hati selepas pasukannya berjaya meraih tiga mata berharga di tempat lawan.

Menurutnya, Kuching City tampil dengan corak permainan agresif, intensiti tinggi serta kelebihan melakukan transisi pantas yang menyukarkan skuad Harimau Selatan mengekalkan rentak permainan biasa mereka.

“Ia satu perlawanan yang sukar, lebih-lebih lagi kami bermain di tempat lawan. Kami sudah tahu dari awal, bila bermain di sini memang sentiasa sukar.

“Apabila kami mendapat peluang penting di babak pertama, kami sepatutnya menamatkan perlawanan. Bila tidak, perlawanan kekal terbuka dan situasi boleh berubah,” katanya.

Munoz turut mengakui keadaan padang di Stadium Negeri menyukarkan anak buahnya menguasai tempo permainan melalui hantaran pendek yang menjadi identiti pasukan.

“Sukar bermain bola sepak hari ini kerana keadaan padang agak menyusahkan kami. Tetapi kami perlu faham, inilah situasi yang kami hadapi. Apa yang penting, kami berjaya bawa pulang tiga mata,” ujarnya.

Meskipun tewas, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak tetap memuji semangat juang anak buahnya yang mempamerkan aksi bertenaga meskipun bermain dengan sepuluh pemain.

“Jika kami kekal dengan 11 pemain, saya percaya anak-anak buah saya mampu terus bermain dengan baik.

“Bermain menentang JDT dengan 11 pemain pun sudah cukup sukar, apatah lagi dengan sepuluh pemain, ia lebih mencabar, tetapi saya hormati dan tabik kepada para pemain, kerana walaupun dengan sepuluh orang, mereka tetap memberikan segalanya,” katanya.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Penang FC pula terus kempunan mencatat kemenangan apabila tunduk 2-1 di tangan Kuala Lumpur (KL) City.

Sabah pula sekadar terikat tanpa jaringan dengan Kelantan The Real Warriors FC di Likas manakala PDRM FC dan Melaka FC turut mencatat keputusan sama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sekali gus menyaksikan dua daripada lima perlawanan minggu ini berakhir dengan keputusan seri.

Secara keseluruhan, lima perlawanan Liga Super minggu kedua merekodkan jumlah kehadiran 47,511 penonton ke stadium. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN