SEREMBAN: Sikap para pemain yang tidak mahu kehilangan mata telah membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) bangkit semula (comeback) hingga dapat mengikat Kuching City FC dengan keputusan 2-2 semalam.
Ketua Jurulatih NSFC, Mohd. Nidzam Jamil berkata, semangat itu telah mendorong para pemain berhempas pulas menyaingi permainan pasukan pelawat hingga menjaringkan gol dalam situasi genting.
Bagaimanapun, katanya, situasi ‘comeback’ tidak boleh menjadi satu kelaziman untuk pasukan itu terutamanya dalam era bola sepak moden.
“Saya rasa gembira terutamanya komitmen semua pemain pada separuh masa kedua hingga kami menjaringkan gol pada minit ke-78 dan masa tambahan.
“Tetapi ‘comeback, tidak boleh selalu berlaku. Ini bola sepak moden dan magik tidak berlaku setiap masa,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini semalam.
Perlawanan itu menyaksikan NSFC mengheret keputusan kepada seri 2-2 pada 10 minit terakhir perlawanan.
Sehingga minit ke-78 Kuching City FC hampir pasti membawa pulang tiga mata penuh melalui gol Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-7 dan Wanja Ronald Ngah pada minit ke-30.
Namun NSFC bangkit pada minit ke-78 dengan gol Joseph Esso dan gol penyamaan melalui Nsue Etugu Luis Enrique ketika perlawanan memasuki masa tambahan.
Ini perlawanan kedua yang menyaksikan NSFC bangkit semula dalam perlawanan selepas ketinggalan.
Mohd. Nidzam menjelaskan, perlawanan menentang Kuching City FC semalam tidak mudah terutamanya pasukan itu mempunyai pemain sayap pantas serta ketinggian yang membolehkan mereka melakukan pergerakan mengatasi pemain NSFC.
“Bersaing dengan pasukan di kedudukan keempat liga tahun lalu ini adalah lebih sengit dan kami tidak mampu melakukan kesilapan-kesilapan yang membolehkan mereka menghukum kami.
“Tetapi pemain kami cuba menyaingi mereka dengan mengubah dinamik permainan kepada lebih bersasar dan mereka berhasil menjaringkan dua gol penting,” ujarnya. – UTUSAN










