PETALING JAYA: Aksi suku akhir Piala Malaysia 2025/26 kembali hangat apabila pertemuan semula Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC dilihat sebagai medan menebus kekecewaan skuad Jang dalam saingan Liga Super serta Piala FA yang lalu.
Skuad kendalian Nidzam Jamil melengkapkan lapan pasukan ke saingan suku akhir selepas menewaskan Imigresen FC dengan agregat 1-0 dalam aksi timbal balik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar melihat pertemuan suku akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Selangor sebagai peluang terbaik buat skuad Hobin Jang Hobin membalas dendam selepas kekalahan mereka sebelum ini dalam saingan Piala FA lalu serta Liga Super musim ini.
Katanya, kekalahan Negeri Sembilan kepada Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya(MBPJ) baru-baru ini pastinya masih segar dalam ingatan pemain, sekali gus menjadi pembakar semangat menjelang pertemuan yang dijadualkan bermula di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 8 Februari, sebelum aksi timbal balik di Selangor pada 14 Februari.
“Sudah tentu perasaan untuk membalas dendam itu ada dalam pasukan Negeri Sembilan. Mereka baru sahaja tewas kepada Selangor dan kali ini pentasnya pula Piala Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Azlan mengingatkan Negeri Sembilan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dan terperangkap dengan corak permainan Selangor yang kini dilihat lebih tersusun serta berbahaya di bawah kendalian jurulatih baharu, Kim Pan Gon.
“Selangor sekarang nampak berbeza. Permainan mereka ada ‘gigitan’, sama ada dari segi pertahanan, tengah mahupun serangan.
Keserasian pemain sebenarnya sudah lama ada, cuma kini digabungkan dengan taktikal yang lebih jelas dan berkesan,” katanya.
Azlan turut memuji kebangkitan sokongan penyokong Negeri Sembilan di Paroi, yang disifatkannya sebagai satu kelebihan besar sekiranya dimanfaatkan dengan baik oleh skuad Jang.
“Main di Paroi, Negeri Sembilan biasanya menyerlah. Penyokong semakin memenuhi stadium dan ini hasil keyakinan jurulatih kepada pemain serta penyokong. Tapi jangan pula bermain di tempat lawan tanpa disiplin,” tegasnya.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu ialah dalam saingan liga super yang menyaksikan skuad Gergasi Merah menewaskan pasukan Negeri Sembilan dengan keputusan 1-0 di MBPJ. – UTUSAN










