PETALING JAYA: Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memilih untuk menggunakan pengadil luar negara bagi mengengalikan final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City pada Sabtu ini seolah-olah menunjukkan negara ketandusan calon berkualiti.
Pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, keputusan MFL berkenaan juga seperti senada keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak memilih pengadil Malaysia untuk bertugas di Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung bulan depan.
“Sebenarnya penggunaan pengadil luar ini boleh dipersoalkan, adakah ada permintaan daripada kedua-dua pasukan yang beraksi atau ada desakan peminat. Kalau tiada, kenapa umum guna pengadil luar. Keputusan ini hanya beri kesan negatif dan membuktikan tiada pengadil tempatan yang layak.
“Ia secara tidak langsung menunjukkan pengadil tempatan tidak berkualiti untuk mengadili perlawanan besar di peringkat domestik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh kurang senang dengan tindakan MFL yang mengumumkan penggunakan pengadil luar negara untuk aksi final Piala Malaysia kerana keputusan itu membunuh semangat, emosi dan cita-cita pengadil tempatan.
Kata Subkhiddin, tindakan tersebut dianggap sebagai jalan pintas pihak pengurusan untuk mengelakkan kritikan selain menafikan hak pengadil tempatan
yang telah mengharungi pelbagai cabaran dan kritikan sejak awal musim di Liga Malaysia (Liga M).
Mengulas lanjut, pekan berkata, jabatan pengadil di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sewajarnya lebih peka dengan situasi ini termasuk mempunyai senarai pengadil yang boleh diamanahkan untuk mengadili mana-mana perlawanan besar di peringkat domestik.
“FAM sepatutnya ada panel bebas yang berkecuali bagi memilih pengadil mana yang layak, supaya pada akhirnya panel ini boleh menentukan pengadil mana yang akan adili final Piala FA, Piala Malaysia dan juga Piala Sumbangsih.
“Selepas ini saya berharap akan ada panel berkecuali atau agensi pengadil professional yang diterajui bekas-bekas pengadil berpengalaman. Langkah ini secara tidak langsung akan menjamin ketelusan dan integriti, keterbukaan dalam soal memilih pengadil,” katanya.
Ditanya kemungkinan sebab utama MFL memilih pengadil luar, Pekan berkata, langkah itu diambil bagi menggembirakan kedua-dua pasukan selain mengelak cakap-cakap atau kontroversi selepas perlawanan, khususnya melibatkan keputusan pengadil bertugas. – UTUSAN










