Oliver terlepas bonus lumayan

Oliver terlepas bonus lumayan

MICHAEL Oliver-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengadil England, Michael Oliver terpaksa melupakan peluang mengadili final Piala Dunia 2026 sekali gus terlepas bonus lumayan selepas tidak layak ditugaskan pada aksi kemuncak di Stadium MetLife, awal pagi Isnin ini.

Pengadil berpengalaman Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebelum ini dianggap antara calon utama berdasarkan rekod cemerlang serta prestasi konsisten sepanjang kejohanan, namun kemaraan England ke separuh akhir menutup terus peluangnya untuk mengendalikan perlawanan paling berprestij dunia.

Mengikut peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), seseorang pengadil tidak dibenarkan mengadili perlawanan yang membabitkan negara sendiri atau aksi yang boleh memberi kesan kepada laluan pasukan negaranya dalam kejohanan.

Situasi itu bukan sahaja menghalang Oliver daripada mengadili separuh akhir membabitkan England dan Argentina, malah turut menafikan peluangnya mengendalikan final sekiranya The Three Lions berjaya mara ke pentas penentuan kejuaraan.

Seorang lagi pengadil England, Anthony Taylor turut berdepan nasib sama, manakala faktor geopolitik turut mengecilkan lagi peluang pegawai dari England apabila mereka tidak dibenarkan mengendalikan perlawanan melibatkan Argentina susulan sensitiviti hubungan kedua-dua negara selepas Perang Falkland 1982.

Menurut laporan The Times, pengadil yang bertugas di Piala Dunia kali ini berpeluang memperoleh sehingga £85,000 (RM463,000), termasuk bayaran asas sepanjang enam minggu kejohanan serta bonus tambahan bagi setiap aksi peringkat kalah mati.

Jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding bayaran yang diterima pengadil pada Piala Dunia 2014 di Brazil, sekali gus menjadikan edisi kali ini antara yang menawarkan ganjaran tertinggi kepada pegawai perlawanan.

Sepanjang kempen di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, Oliver mengendalikan empat perlawanan termasuk aksi suku akhir antara Sepanyol dan Belgium yang mencuri perhatian apabila beliau secara tidak sengaja menghalang pemain Sepanyol, Dani Olmo ketika satu gerakan serangan sebelum segera menghentikan permainan dan memohon maaf.

Seramai 51 pengadil disenaraikan FIFA bagi kejohanan kali ini selepas pengadil Somalia, Omar Artan gagal menyertai pertandingan kerana tidak mendapat kebenaran memasuki Amerika Syarikat.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN