Pengadil luar beri aura berbeza

Pengadil luar beri aura berbeza

AIDIL Shahrin Sahak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kehadiran pengadil antarabangsa bagi final Piala Malaysia sebagai langkah positif untuk memberikan aura yang lebih berbeza ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Sabtu ini.

Malah, situasi itu bukan sesuatu yang asing buat Aidil kerana beliau pernah melalui pengalaman sama ketika membimbing Kedah pada final Piala FA 2019 menentang Perak yang ketika itu perlawanan dikendalikan oleh pengadil dari Jepun.

“Bagi saya, ia satu perkara yang bagus sebab saya sendiri pernah lalui situasi sama pada final 2019, memang suasana lain daripada lain, apabila aksi final seperti itu adanya individu lain untuk beri kita sesuatu yang lebih segar dan berbeza. 

“Bezanya ketika itu Kedah sudah mempunyai reputasi besar dan pengalaman beraksi di final serta pernah memenangi trofi. Kali ini, agak lain sedikit sebab saya membawa Kuching City yang pertama kali melangkah ke final, sejarah baru untuk kelab ini”, katanya.

Dalam masa sama, Aidil turut berpendapat keputusan membawa masuk pengadil luar bukanlah bermaksud menafikan kemampuan pengadil tempatan yang menurutnya ramai telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang musim ini.

“Saya teruja dengan penglibatan pengadil luar negara untuk final ini tapi tidaklah bermakna pengadil tempatan kita tidak bagus. 

“Ramai juga yang telah melakukan tugas dengan baik dan sejak 2019 selepas kehadiran pengadil dari luar, saya tengok sendiri peningkatan daripada pengadil-pengadil tempatan saban musim. 

“Malah, ada juga pengadil Malaysia seperti Razlan Joffri, Nazmi Nasaruddin yang pernah mengendalikan perlawanan liga di Indonesia, dan ianya satu perkara yang cukup bagus.

“Tetapi saya fikir untuk peminat dan juga kedua-dua finalis ini, tentunya kehadiran muka baharu di final dapat memberi pengalaman yang lebih lain”, tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN