PETALING JAYA: Polis memberi amaran tegas bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan kekecohan, rusuhan atau provokasi melampau sepanjang aksi final Piala Malaysia 2025/2026 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sebelum, semasa mahupun selepas perlawanan berlangsung
Dengan jangkaan kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 penyokong, suasana sekitar Bukit Jalil dijangka kembali ‘meriah’ apabila dua pasukan terbaik negara berentap memburu trofi berprestij bola sepak tanah air.
Menurut Fadil, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melakukan persiapan menyeluruh menerusi kerjasama pelbagai agensi serta jabatan berkaitan bagi memastikan kelancaran operasi keselamatan pada hari perlawanan.
“Pihak PDRM telah membuat persiapan rapi dan bekerjasama dengan pelbagai agensi serta jabatan bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sepanjang perlawanan berlangsung.
“Pemeriksaan tubuh badan dan barangan akan dilakukan oleh petugas marshall di setiap pintu masuk stadium,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, semua pintu masuk stadium dijangka dibuka seawal pukul 5 petang, namun tertakluk kepada keadaan semasa termasuk faktor cuaca.
Penyokong diingatkan supaya mematuhi peraturan stadium dengan tidak membawa masuk barangan terlarang seperti dadah, mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, objek tajam, senjata berbahaya, minuman keras, payung, tongkat, powerbank, botol air, rokok elektronik, dron, pembesar suara, wisel, air horn dan kipas tangan elektronik.
Fadil berkata, penggunaan gendang pula hanya dibenarkan selepas mendapat kelulusan daripada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi mengelakkan sebarang isu keselamatan atau gangguan ketenteraman.
Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengelakkan laluan sekitar kawasan berkenaan jika tidak mempunyai urusan bagi mengurangkan kesesakan trafik.
“Penyokong juga diminta mematuhi arahan pegawai dan anggota polis bertugas selain mengamalkan sikap sabar, berhemah dan bertolak ansur ketika menyaksikan perlawanan.
“Tindakan saman dan tunda akan diambil terhadap mana-mana kenderaan yang diletakkan di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas,” ujarnya. – UTUSAN










