CANBERRA: Australia sedang meneliti cara untuk membenarkan warga Palestin yang mempunyai visa pelawat sementara untuk tinggal di negara tersebut dengan lebih lama.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Tony Burke, tindakan tersebut adalah wajar untuk mengeluarkan visa pelawat memandangkan perang meletus di Gaza pada 7 Oktober 2023, tetapi sudah menghampiri tarikh tamat tempoh visa.
Beliau mengesahkan kerajaan sedang melihat langkah seterusnya diambil menangani masalah ini, namun belum membuat keputusan muktamad.
“Sudah tentu tiada negara di dunia akan menghantar pelarian pulang ke Gaza buat masa sekarang, jadi kami perlu menyelesaikan apa yang berlaku kerana visa tersebut ketika ini telah tamat tempoh,” katanya ketika ditemubual oleh Sky News.
Burke tidak menjawab persoalan sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk menawarkan visa sementara kepada mereka yang baru tiba di Australia atau bentuk perlindungan kekal yang lain.
Visa sementara sah selama tiga hingga 12 bulan dan tidak membenarkan penerimanya untuk bekerja, menghadiri sekolah atau menerima rawatan perubatan.
Visa ‘Safe Haven’ ini membenarkan penggunanya untuk tinggal selama lima tahun di Australia manakala penginapan tanpa had dibenarkan di bawah visa perlindungan kekal.
Sehingga 30 Jun tahun ini, Australia telah memberikan 2,823 visa sementara kepada rakyat Palestin termasuk 2,499 visa pelawat sejak 7 Oktober tahun lalu dan setakat 31 Mei, sebanyak 1,120 rakyat Palestin telah tiba di Australia. – AGENSI










