AS, Qatar, Mesir gesa rundingan gencatan senjata diteruskan

AS, Qatar, Mesir gesa rundingan gencatan senjata diteruskan

PENDUDUK Palestin meninggalkan kawasan timur Khan Younis selepas tentera Israel mengeluarkan perintah pemindahan baharu di beberapa bahagian bandar selatan Gaza, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Israel dan Hamas digesa kembali ke meja rundi­ngan untuk menyambung semu­la perbincangan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tahanan sebagai satu langkah menamatkan segera konflik peperangan yang kini menyaksikan hampir 40,000 penduduk Gaza dibunuh dalam tempoh 10 bulan.

Meskipun perbincangan itu mungkin berhadapan jalan buntu kerana Israel dikatakan mahu meneruskan peperangan ke atas Gaza, namun Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar mengesa agar semua pihak menyambung semula rundingan yang tertangguh sejak sekian lama.

Kenyataan itu berkata, ke­tiga-tiga negara tersebut sudah membentuk kerangka per­janjian yang hanya tinggal butiran pelaksana­an untuk dimuktamad­kan.

Menerusi kenyataan, ketiga-tiga negara pengantara terbabit menjemput Israel dan kumpulan pejuang Palestin itu untuk memulakan kembali rundingan pada 15 Ogos bagi menutup semua jurang yang masih ada dan melaksanakan perjanjian tanpa penangguhan.

“Sebagai pengantara, jika perlu kami bersedia untuk membentangkan cadangan sebagai jambatan akhir yang menyelesaikan isu pelaksanaan yang tinggal dengan memenuhi jangkaan semua pihak,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden AS, Joe Biden; Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Kenyataan tersebut berkata, kerangka perjanjian itu berdasarkan prinsip yang digariskan oleh Biden pada 31 Mei yang akan dimulakan dengan gencatan senjata penuh dan pembebasan beberapa tebusan serta disokong oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Terdahulu, Israel mendakwa akan menghantar perunding ke rundingan yang dicadangkan, pada 15 Ogos di Doha atau Kaherah.

Bagaimanapun, Hamas belum memberikan maklum balas segera. Jika ia berlaku, ia merupakan tugas pertama Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik Hamas yang baharu dillantik menggantikan Ismail Haniyeh yang terbunuh dalam satu serangan di Teheran, Iran.

Usaha diplomatik yang diperbaharui ini dilihat sebagai percubaan untuk menghalang ketegangan serantau daripada meningkat, selepas Ismail mati dibunuh minggu lalu.

Iran yang menyalahkan Israel berikrar untuk memberi tindak balas terhadap pembunuhan itu, meskipun Tel Aviv enggan mengakui bertanggungjawab dalam serangan tersebut.

Walaupun terdapat banyak pusingan rundingan, cabaran untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan setakat ini terbukti sukar dicapai.

Hamas mendesak gencatan senjata tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertegas mahu konflik berakhir setelah kumpulan pejuang Pales­tin itu dikalahkan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN