NIBONG TEBAL : Baki tempoh berkempen yang kini tidak sampai 48 jam akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mendekati pengundi sekaligus memastikan mereka keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing, Sabtu ini, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Kon Yeow bagaimanapun mengakui bahawa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ini agak kurang meriah disebabkan keadaan geografinya yang menjurus kepada persekitaran semi urban.
“Kalau kita lihat cara kempen di sini (Sungai Bakap), ia lebih tertumpu kepada ceramah kelompok dan bertemu pengundi dari rumah ke rumah.
“Selain itu, kempen ini juga digerakkan dengan jentera parti termasuk rakan strategi Barisan Nasional (komponen Kerajaan Perpaduan). Jadi, masing-masing ada cara kempen tersendiri.
“Apa-apa pun, mesej kita semua sama iaitu memenangkan calon nombor satu iaitu Cikgu Joohari kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program ‘Jom Pekena Durian Bersama CM Chow 2.0’ di pekarangan Kompleks Rakan Muda Jawi di sini, petang tadi.
Sebanyak 300 kilogram durian pelbagai varieti dihidangkan kepada hampir 100 pengamal media yang bertugas sempena PRK Sungai Bakap.
Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan atau PH iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.
Terdahulu, PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.-UTUSAN










