Keluarga, rakyat sentiasa menjadi keutamaan Sultan Ibrahim

Keluarga, rakyat sentiasa menjadi keutamaan Sultan Ibrahim

RAKYAT berpeluang beramah mesra dengan Sultan Ibrahim menerusi Program Kembara Mahkota Johor yang diadakan pada setiap tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIPUTERAKAN pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Sultan Ibrahim merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Baginda dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) di Istana Besar Johor pada 3 Julai 1985.

Baginda pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor kelima pada 23 Januari 2010.

Lebih sedekad menaungi negeri, Sultan Ibrahim berjaya melakar sejarah tersendiri dalam membawa Johor menjadi sebuah negeri yang semakin maju.

Sultan Ibrahim amat mesra dan prihatin serta sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan dan keselesaan rakyat jelata termasuk dalam menyediakan infrastruktur terbaik.

Malah, kini Johor Bahru sudah mempunyai tiga pihak berkuasa tempatan berstatus bandar raya iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahtu (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Pute­ri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Bagi membantu rakyat jelata khususnya golongan memerlukan serta yang ditimpa musibah, Sultan Ibrahim mencetuskan idea menubuhkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Bukan itu sahaja, Permaisuri Johor turut menubuhkan Yayasan Raja Zarith Sofiah Nege­ri Johor (YRZSNJ). Bagi membantu pesakit kanser, turut ditubuhkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Jalil (YKTLJ).

Malah, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Co­vid-19, yayasan yang ditubuhkan Kerabat Diraja Johor tersebut giat membantu ramai rakyat Johor yang memerlukan.

Bukan itu sahaja, malah YSIJ menyumbangkan 10,000 kampit beras kepada Bangsa Johor yang memerlukan di semua 10 daerah di negeri ini susulan keluhan rakyat ekoran peningkatan harga makanan ruji itu.

Semasa dilantik sebagai TMJ, Sultan Ibrahim telah berusaha bukan sahaja untuk mendekati rakyat, malah membantu mereka menerusi program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diilhamkan baginda.

Program yang dimulakan pada tahun 2001 kini menjadi salah satu ‘ikon’ bagi negeri Johor dan sentiasa dinanti-nantikan pada setiap tahun kerana Sultan Ibrahim bukan sahaja menjelajah ke seluruh negeri, malah membawa bersama-sama ahli keluarga baginda untuk mendampingi rakyat jelata.

Nyata naluri baginda sentiasa dekat dan amat memahami kehendak rakyat jelata.

Malah, KMJ diakui dapat merapatkan dan mengeratkan lagi hubungan rakyat jelata, sekali gus memperkukuhkan institusi Raja Berperlembagaan dan meningkatkan permuafakatan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Semasa menjelajah ke seluruh negeri, Sultan Ibrahim bukan sahaja sanggup berpanas dan berhujan sambil menunggang motosikal, malah turut merentasi sungai dan laut semata-mata ingin berjumpa dengan rakyat termasuk yang tinggal di pulau-pulau serta memandu kenderaan pacuan empat roda untuk berjumpa rakyat di kawasan pedalaman termasuk masyarakat Orang Asli.

Sikap prihatin baginda turun padang bagi meninjau kehidupan dan menyelami susah senang rakyat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra dan amat prihatin dengan kebajikan rakyat.

Dalam bidang sukan, baginda gemar bermain polo dan me­nunggang motosikal berkuasa tinggi serta turut memiliki lesen memandu kereta api.

Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, pasangan diraja berkenaan dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri, iaitu Tunku Ismail (Tunku Mahkota Johor), Tunku Aminah, Tunku Idris Iskandar (Tunku Temenggong Johor), Almarhum Tunku Abdul Jalil (Tunku Laksamana Johor), Tunku Abdul Rahman (Tunku Panglima Johor) dan Tunku Abu Bakar (Tunku Putera).

Sultan Ibrahim juga amat mengutamakan keluarga apabila sentiasa meluangkan masa bersama-sama mereka, khususnya apabila ada masa terluang usai melaksanakan tugas rasmi baginda.

Malah, kini kehidupan baginda lebih ceria dengan kehadiran beberapa orang cucunda hasil pernikahan Tunku Mahkota Ismail serta Tunku Aminah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN