BESUT: Seorang peniaga di Kampung Bekok, Hulu Besut dekat sini menjual lebih 4,000 keping petai sehari berikutan permintaan yang tinggi di pasaran.
Wan Noor Ajman Wan Setapa, 51, berkata, hasil jualan tersebut mampu menjana pendapatan kira-kira RM20,000 sebulan terutama pada musim petai.
Katanya, permintaan terhadap bekalan ulam tersebut sentiasa tinggi di pasaran, meningkat berlipat kali ganda ketika harga murah.
“Kebiasaan musim petai bermula Ogos sehingga Oktober tetapi pada tahun ini, didapati Mei telah mulai berbuah,” katanya ketika ditemui di Kampung Bekok, di sini semalam.
Wan Noor Ajman berkata, harga petai yang dijual adalah RM10 bagi lapan keping manakala harga borong pula RM60 hingga RM70 bagi 100 keping.
Menurutnya, dia turut mendapat tempahan petai dari luar negeri ini seperti Kelantan, Selangor, Johor dan Pahang.
“Petai bukan sekadar dibuat ulam, malah boleh digunakan dalam masakan seperti sambal udang petai dan tumis bilis petai.
“Jika dulu ia hanya digemari oleh ‘generasi lama’ namun kini petai menjadi makanan pilihan pelbagai golongan tanpa mengira umur dan bangsa,” katanya.
Katanya, dia juga menerima bekalan petai daripada pekebun di sekitar Hulu Besut, seterusnya dapat membantu golongan tersebut meningkatkan pendapatan. –











