RATA-Rata peminat sukan bola sepak teruja dengan kehadiran Kejohanan Euro 2024, yang sudah membuka tirainya pada pagi Sabtu, melibatkan perlawanan antara pasukan Jerman dan Scotland.
Perlawanan itu menyaksikan Jerman yang juga tuan rumah berpesta gol selepas mencatat kemenangan 5-1 ke atas Scotland pada aksi pertama Kumpulan A.
Disebalik kemeriah dirasai seluruh dunia namun demikian, segenap rakyat Malaysia masih menantikan berita gembira daripada pihak kerajaan ataupun RTM untuk menyiarkan saingan Euro 2024 ini secara percuma buat semua peminat seluruh negara.
Utusan Malaysia juga telah menemubual beberapa individu luar termasuklah daripada dalam kalangan pemain bola sepak kelab tempatan, mengenai harapan mereka untuk menonton perlawanan Euro 2024 secara percuma.
Bagi Ketua jurulatih Bawah 20 tahun (B-20) Miri FA dan Jurulatih Pembangunan Negeri Sarawak, Mohd Hakimi Man berkata di Sarawak bola sepak merupakan tarikan utama buat kawasan-kawasan luar bandar.
Jelasnya, kejohanan Euro merupakan salah satu pertandingan yang dinanti oleh peminat-peminat bola sepak di Sarawak.
“Di Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar, bola sepak merupakan sukan yang paling di minati dan dimainkan setiap petang oleh komuniti setempat terutamanya penduduk di rumah panjang.
“Kejohanan bolasepak bertaraf Dunia terutamanya Euro 2024 adalah acara yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka. Memandangkan ada kawasan luar Bandar terutama yang di pendalaman masih belum mendapat liputan TV Satelit, talian komunikasi selular (Handphone) dan ketidakupayaaan mereka melanggan siaran berbayar seperti Astro, Unifi dan lain maka mereka bergantung harap kepada saluran media massa yang percuma terutamanya saluran RTM.
“Ketiadaan Live di RTM sudah pasti memberikan kekecewaan besar untuk mereka untuk merasai kemeriahan kejohanan bolasepak bertaraf Dunia.
“Bagi kita yang tinggal di Bandar..ketiadaan siaran percuma Live Euro 2024 di RTM mungkin ianya kesan yang kecil tetapi bagi mereka ianya amat besar kerana di situlah mereka menikmati kemeriahan bolasepak , belajar sesuatu yang baru, bersatu padu menonton beramai-ramai,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol Kelantan Darul Naim (KDA) FC, Khatul Anuar sangat setuju sekiranya RTM mendapatkan hak penyiaran rasmi Euro untuk ditayang secara percuma kepada rakyat Malaysia.
“Saya sangat setuju kalau RTM dapat hak penyiaran rasmi Euro untuk tahun ini, dekat Euro kita dapat lihat pemain-pemain yang hebat bermain. Saya memang peminat setia Euro.
“Jadi saya sangat hargai jasa baik RTM kalau dapat hak penyiaran dan tayangan secara percuma ini. Bukan senang melihat Euro, hanya diadakan empat tahun sekali sahaja,” jelas Khatul.

Dalam pada itu, pemain Kuching City Amir Amri turut senada dengan Khatul dan berharap pihak kerajaan dapat ‘bermurah hati’ untuk memberi kegembiraan kepada rakyat dengan ‘menghadiahkan’ siaran langsung Euro percuma.
“Saya menyokong supaya RTM siarkan perlawanan Euro secara percuma, kerana ramai peminat-peminat bola sepak yang ingin menonton Euro empat tahun sekali ini.
“Semoga pihak kerajaan baik hati murah rezeki untuk bagi siaran percuma Euro tahun ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyokong bola sepak negara, Muhamad Qadry turut meletakkan harapan tinggi untuk melihat siaran langsung Euro yang berlangsung empat tahun sekali itu, di RTM.
“Saya sangat setuju kalau RTM membeli hak penyiaran rasmi Euro 2024 pada tahun ini. Saya merupakan peminat setia Perancis, jadi Euro kali ini memang saya nak tengok pasukan kegemaran saya beraksi.
“Saya amat menghargai jasa baik RTM sekiranya pihak RTM dapat membeli hak penyiaran Euro 2024 kerana seperti sedia maklum tidak semua rakyat Malaysia merupakan pelanggan Astro. Justeru itu, perlawanan melibatkan negara Eropah ini hanya berlangsung 4 tahun sekali.
“Harapan saya, pihak RTM dapat membeli hak penyiaran Euro kali ini kerana rakyat Malaysia mudah untuk mengakses ke laman sesawang RTM untuk menonton Euro 2024,” katanya yang menyokong pasukan Perancis.
Demikian antara kenyataan-kenyataan daripada peminat bola sepak Eropah, yang tampak masih menaruh harapan tinggi supaya pihak kerajaan atau RTM selaku penyiar rasmi negara, untuk memberi ‘hadiah’ kepada rakyat Malaysia yang mahu menonton aksi Euro 2024 secara percuma.
Dengan pasukan-pasukan besar seperti England, Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali, Portugal, Croatia, dan Belanda yang bakal bertanding, pasti akan ada tarikan besar untuk menonton perlawanan berkenaan.
Malah, ia mampu menjamin rating tinggi untuk mana-mana stesen TV yang menayangkan kejohanan ini dan RTM juga pastinya boleh ‘menjual’ slot slot iklan semasa penyiaran ini kepada syarikat-syarikat gergasi.-UTUSAN










