PRK Sungai Bakap: PN pilih pegawai khas Nor Zamri jadi calon

PRK Sungai Bakap: PN pilih pegawai khas Nor Zamri jadi calon

ABIDIN Ismail (empat dari kanan) ketika diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi DUN Sungai Bakap dalam satu majlis yang diadakan di Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Teka-teki calon manakah yang akan mewakili Pas atau Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akhirnya terjawab apabila ia menjadi milik seorang eksekutif logistik, Abidin Ismail, 56.

Nama Abidin yang juga bekas pegawai khas kepada Allahyarham Nor Zamri Latiff atau Abang Zam diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu majlis pengisytiharan calon di Simpang Ampat, malam ini.

Abidin merupakan anak jati Sungai Bakap yang dilahirkan di Sungai Duri dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Masjid Jamek Sungai Duri ketika ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pemimpin PN yang lain.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal sebelum ini memenangi kerusi DUN Sungai Bakap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR iaitu, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pada itu menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN