PRK Sungai Bakap : Pas Pulau Pinang beri peluang 'akar umbi' cadang calon

PRK Sungai Bakap : Pas Pulau Pinang beri peluang ‘akar umbi’ cadang calon

MUHAMMAD Fauzi Yusoff (kiri) ketika sidang akhbar di bangunan DUN Pulau Pinang, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ahli ‘akar umbi’ Pas di Pulau Pinang diberi peluang untuk mencadangkan nama calon yang boleh diketengahkan bagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, setakat ini, parti tersebut masih belum memutaktamadkan nama calon yang bakal bertanding di kerusi berkenaan.

“Calon itu belum muktamad lagi siapa dia. Calon mestilah orang Pulau Pinang kerana syarat untuk jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah, dia mesti seorang rakyat negeri ini.

“Jadi, kita bagi peluang kepada ahli ‘akar umbi’ (di peringkat cawangan, bahagian) untuk cadangkan kepada pimpinan Pas siapa calon yang sesuai bertanding. Nanti, ia akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

ADUN Sungai Bakap yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff disahkan meninggal dunia Jumaat lalu, selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang berkata, pihaknya juga telah berbicang secara tidak rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap itu dengan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad pada Jumaat lalu.

“Saya bertemu secara tidak langsung dengan pimpinan Pas Pusat iaitu Ustaz Idris pada Jumaat lalu ketika beliau datang menziarahi jenazah Allahyarham Nor Zamri dan tindakan segera telah diambil untuk kita adakan mesyuarat pada minggu ini,” katanya.

Tambah Muhammad Fauzi, secara tradisinya kerusi DUN Sungai Bakap itu ditandingi oleh Pas sebelum ini dan pada masa ini, adalah penting untuk jentera-jentera Pas terus bergerak untuk bertemu dengan masyarakat di kawasan DUN Sungai Bakap.

Dalam pada itu, katanya, perbincangan mengenai PRK DUN Sungai Bakap itu juga akan melibatkan rakan komponen lain dalam gabungan PN.

“Keputusan adalah secara bersama, ada beberapa perkara perlu diselesaikan, secara dalaman dengan rakan-rakan dalam PN dan keputusan akan dibuat oleh pimpinan Pusat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN