PRU-16: Pas Pulau Pinang sokong Gerakan guna logo sendiri

PRU-16: Pas Pulau Pinang sokong Gerakan guna logo sendiri

MUHAMMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pas Pulau Pinang menyokong penuh keputusan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menggunakan logo parti itu sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, keputusan tersebut adalah hak parti berasaskan strategi politik masing-masing.

Beliau berkata, Pas Pulau Pinang menghormati pendirian serta keyakinan Gerakan dan melihat langkah ini sebagai manifestasi kematangan politik dalam blok pembangkang yang meraikan kepelbagaian serta memperkukuhkan lagi semangat kerjasama strategik demi kepentingan rakyat.

PAS Pulau Pinang meraikan sebarang tindakan yang mungkin meningkatkan kepercayaan rakyat selagi mana komponen dalam Perikatan Nasional (PN) tetap menjaga persefahaman, kesatuan hati dan hala tuju perjuangan.

“Bahkan, tindakan menggunakan logo parti (sendiri) ini telah terbukti menjadi senjata ampuh di beberapa buah negeri pada PRU ke-15,” katanya di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Gerakan khususnya di Pulau Pinang berharap dapat bertanding menggunakan logo parti itu sendiri memandangkan PN pernah membenarkan parti komponennya berbuat demikian.

Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, dengan adanya kebenaran itu juga, ia dapat memberi peluang kepada rakyat Pulau Pinang untuk kembali melihat logo Parti Gerakan di kertas undi selepas sekian lama.

Dalam pada itu, Muhammad Fawwaz berkata, pihaknya percaya, walaupun dengan penggunaan logo berbeza, matlamat utama iaitu untuk mengembalikan kesejahteraan dan menawarkan pilihan terbaik kepada rakyat iaitu berasaskan keadilan, kesejahteraan, dan tadbir urus yang bersih selain menolak politik sempit yang memecahbelahkan masyarakat tetap akan menjadi titik temu utama antara rakan-rakan gabungan.

“Oleh itu, Pas akan terus bekerjasama erat dengan Gerakan dan semua parti terutama dalam PN untuk menggembleng tenaga dan idea bagi memastikan aspirasi rakyat Pulau Pinang dan Malaysia dapat direalisasikan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN