Orang muda mudah kahwin, mudah cerai

Orang muda mudah kahwin, mudah cerai

PETALING JAYA 24 MEI 2024 - Gambar hiasan pasangan suami isteri muda bertengkar disebabkan masalah kewangan dan menjadi punca penceraian di Studio Media Mulia di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: SUHANA UTUSAN SERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mudah berkahwin, mudah juga untuk bercerai. Tidak keterlaluan dikatakan itu trend yang sedang berlaku dalam kalangan anak muda ketika ini.

Seawal usia 20-an ramai yang membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga, namun kebanyakannnya terkandas di tengah jalan.

Lebih menyedihkan, apabila usia perkahwinan baru sahaja mencecah beberapa bulan. Kata orang, setahun jagung.

Bukan omong kosong, perkara itu disahkan peguam syarie, Nuraffiqa Abd. Razak yang banyak mengendalikan kes sedemikian.

Katanya, statistik perceraian yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2021 dan 2022 lalu menunjukkan peningkatan dalam kes perceraian di Malaysia.

“Daripada jumlah itu, sebilangan besar kes penceraian adalah dalam kalangan pasangan muda.

“Melalui pengalaman saya, yang memonopoli kes penceraian kini adalah golongan berusia 20 hingga 30-an yang berkahwin hanya dalam jangka masa singkat.

“Pernah saya jumpa kes pasangan yang berkahwin selama lima bulan sahaja sebelum membuat keputusan untuk bercerai sedangkan berkahwin atas dasar suka sama suka,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Data Jabatan Perangkaan mendapati kes perceraian di negara ini meningkat sebanyak 43.1 peratus daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes (2022).

Malah, perceraian tertinggi adalah dalam kumpulan umur 35 hingga 39 tahun bagi lelaki manakala perempuan pula antara 30 hingga 34 tahun.

Perceraian pasangan Islam meningkat 45.8 peratus pada tahun lalu iaitu 46,138 kes berbanding 2021 sebanyak 31,650 kes.

 

Cerai fast track?
Tambahnya, bagi negeri yang menyediakan perkhidmatan perceraian secara fast track pula seperti di Selangor dan Kuala Lumpur, ramai golongan muda yang memilih kaedah berkenaan untuk bercerai dengan lebih pantas.

“Kalau kita lihat antara punca-punca yang selalunya menyebabkan perkara itu terjadi adalah kerana hal yang remeh-temeh seperti pasangan tidak basuh baju, pinggan dan sebagainya.

“Untuk trend lima tahun kebelakangan ini pula kita lihat alasan cerai adalah kerana pasangan curang. Bila kahwin di usia muda, kebanyakannya masih belum puas berseronok.

“Apabila berdepan tekanan kerana mempunyai komitmen dan tanggungan, mereka cenderung menyalurkannya (tekanan) melalui kecurangan,” tambahnya lagi.

Berdasarkan pemerhatian juga, katanya, pasangan muda yang bercerai kebanyakannnya hanya melalui fasa berkenalan yang singkat sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Situasi itu menyebabkan mereka hanya mengetahui perangai sebenar pasangan masing-masing ketika dalam fasa perkahwinan dan jika tidak tahan, perceraian dianggap sebagai satu-satunya jalan penyelesaian.

 

Kesan besar kepada masyarakat
Peningkatan kes perceraian ini bukan sahaja meningkatkan jumlah duda dan janda, malah jika dilihat dalam aspek yang lebih luas, ia memberi kesan besar terhadap masyarakat yang terlibat.

Pegawai Psikologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Norhaida Asma Mohd. Hashim berkata, keruntuhan institusi keluarga bukan sahaja memberi kesan negatif kepada emosi dan psikososial pasangan tetapi terhadap perkembangan psikologi anak-anak yang sedang membesar.

Apatah lagi jika perlu membesar tanpa keluarga nuklear yang lengkap.

“Anak-anak menganggap kehidupan mereka tidak lengkap, malah penceraian juga menyebabkan golongan itu diabai ibu atau bapa.

“Kadangkala datuk atau nenek pula yang menjadi mangsa dan terpaksa menjaga cucu-cucu kerana kekangan kewangan atau pengabaian oleh pasangan yang bercerai,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, kebanyakan perkahwinan muda terkandas di awal usia perkahwinan iaitu kurang lima tahun kerana tidak bersedia atau sukar menyesuaikan diri dengan komitmen sebagai suami atau isteri atau ibu bapa muda.

Selain itu, ia juga berpunca daripada masalah kewangan, perhubungan intim lain atau skandal, hasutan pihak ketiga, perbezaan taraf hidup (sekufu) dan kurangnya ilmu dalam melayari perkahwinan di usia muda.

“Tidak mudah untuk melayari bahtera rumah tangga jika tiada persefahaman, kesabaran, saling menerima seadanya, cermat dalam mengurus ekonomi keluarga dan menghormati bukan sahaja pasangan, malah ahli keluarga, rakan-rakan serta lingkungan sosial pasangan.

“Selain itu pasangan muda perlu melatih diri untuk berkomunikasi dengan baik, tidak menyakiti hati pasangan serta saling berbincang isu-isu yang dialami,” katanya lagi.

Kahwin bukan sekadar di pelamin
Sementara itu, perancang kewangan, Afyan Mat Rawi berpendapat, pengurusan kewangan yang lemah menjadi punca pasangan muda berpisah.

Golongan ini hanya melihat majlis perkahwinan sebagai perkara utama dalam mendirikan rumah tangga sehingga sanggup bergolok-gadai untuk majlis sehari itu.

Sedangkan, komitmen lebih besar dan mencabar selepas memasuki fasa berkahwin, terutama dalam keadaan ekonomi masa kini yang tidak menentu i.

“Ada yang baru mahu bertunang pun sudah buat pinjaman dengan bank untuk majlis. Ada juga yang buat pinjaman untuk bayar deposit kereta dan ini bukan sesuatu yang baharu.

“Daripada membelanjakan jumlah yang banyak untuk majlis kahwin besar-besaran, lebih baik sekiranya duit itu digunakan bagi merancang kehidupan selepas berkahwin.

“Misalnya, buat persediaan bajet untuk sewa rumah atau beli rumah. Tidak perlu terus beli kereta kerana akan susut nilai.

“Cari kediaman yang dekat dengan pengangkutan awam supaya mudah bergerak. Rumah pula tidak perlu besar dan gah, cukup yang kecil dan berpatutan sahaja di awal perkahwinan,” jelasnya.

Kesimpulannya, katanya, penting kepada setiap pasangan untuk membuat persediaan perkahwinan yang bukan sahaja mental dan fizikal tetapi turut merangkumi ilmu pengetahuan tentang kewangan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×