Lelaki pukul warga asing diberkas selepas gagal lolos kepungan polis

Lelaki pukul warga asing diberkas selepas gagal lolos kepungan polis

TANGKAP layar daripada satu rakaman video menunjukkan kereta yang dipandu suspek (dalam bulatan merah) akhirnya berjaya ditahan polis di Plaza Tol Sungai Nyior di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang lelaki berusia 40-an akhirnya diberkas selepas memandu sejauh hampir 20 kilometer (km) ketika dikejar kereta peronda polis (MPV) di sini, petang semalam.

Kejadian itu dikatakan berlaku selepas kereta dipandu suspek cuba ditahan oleh anggota yang menaiki MPV tersebut kerana disyaki memukul seorang lelaki warga asing di Pusat Perniagaan Alma kira-kira pukul 3.30 petang, hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, terdahulu, tular dua rakaman video masing-masing berdurasi 32 saat mengenai kejadian berkenaan di laman X atau Twitter sejak pukul 10.10 pagi ini.

Helmi berkata, anggota MPV terbabit terpaksa mengejar suspek kerana lelaki itu bukan sahaja enggan memberhentikan kenderaannya, malah, terus memecut kenderaan yang dipandunya itu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Jelas beliau, suspek yang juga warga tempatan itu turut melanggar sebuah motosikal semasa cuba meloloskan diri daripada kepungan beberapa MPV lain yang turut mengejarnya ketika berada di persimpangan Jalan Jaya Gading, di sini.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan di Plaza Tol Sungai Nyior di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) tidak lama selepas itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, polis kemudian menjumpai botol plastik yang telah diubah suai, disyaki digunakan untuk menghisap dadah,” katanya di sini, hari ini.

TANGKAP layar daripada satu rakaman video menunjukkan kereta yang dipandu suspek (dalam bulatan merah) cuba meloloskan diri daripada kepungan beberapa kereta peronda polis (MPV) di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Menurut Helmi, siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah serta positif dadah jenis methampethamine selepas satu ujian saringan air kencing dijalankan terhadapnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN