GEORGE TOWN : Suspek yang ditahan susulan satu kejadian tetak di Telok Ayer Tawar, Tasek Gelugor, Ahad lalu didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas satu ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lelaki tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, semakan lanjut mendapati, suspek juga mempunyai dua rekod jenayah dan 11 rekod berkaitan dadah sebelum ini.
Katanya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan sengaja.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dan buat masa ini, polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Azizee sebelum itu memberitahu, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 9.16 malam pada hari kejadian yang memaklumkan bahawa seorang lelaki tempatan diserang dan dipukul dengan menggunakan parang oleh seorang lagi lelaki yang dikenalinya.
Beliau berkata, siasatan mendapati, kejadian tetak itu berlaku di sebuah bengkel kenderaan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil di lokasi kejadian.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian belakang badan dan terpaksa menerima lima jahitan di kepala. Selain itu, mangsa juga putus jari telunjuk kanan serta hampir putus jari tengah tangan kanan dan pergelangan tangan kiri.
“Mangsa ketika ini bagaimanapun masih menerima rawatan lanjut di Hospital Seberang Jaya (HSJ),” ujar beliau.-UTUSAN










