Kelindan lori ais hari pertama bekerja antara ditahan positif dadah

Kelindan lori ais hari pertama bekerja antara ditahan positif dadah

STIEN Van Lutam menyoal siasat seorang pemandu van kilang yang ditahan selepas positif dadah semasa Op Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Kuala Ketil, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang lelaki yang baru hari pertama bekerja sebagai kelindan lori ais antara enam ditahan kerana positif dadah dalam Op Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Kuala Ketil, hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan selepas ujian saringan air kencing terhadapnya positif dadah jenis Methamphetamine. Turut ditahan seorang lagi kelindan lori, juga berusia 33 tahun dan dua pemandu van kilang masing-masing berumur 32 dan 40 tahun kerana positif dadah jenis sama.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, dua lagi pemandu ditahan dalam operasi berkenaan yang dijalankan pihaknya di Plaza Tol Hutan Kampung, dua hari lepas.

“Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan salah seorang daripadanya diserahkan kepada polis kerana memiliki dadah. 

“Kita menjalankan operasi ini bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di tiga lokasi iaitu kawasan rehat dan rawat, stesen penguatkuasa dan terminal bas,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, objektif utama operasi itu adalah memantau dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu dan kelindan kenderaan perdagangan yang menyalah gunakan dadah.

Katanya, rata-rata mereka yang ditahan memberi alasan mengambil bahan terlarang itu untuk menguatkan tenaga bagi menghadapi tempoh pemanduan yang lama. 

“Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana pengambilan dadah ketika memandu amat merbahaya bukan sahaja kepada mereka tetapi membabitkan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Stien berkata, JPJ juga akan melaksanakan tindakan terhadap syarikat pengangkutan yang didapati gagal memastikan pemandu dan kelindan mereka bebas penggunaan dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN