SEGAMAT: Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan tiga ahli keluarga di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban di Segamat semalam, direman empat hari.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Jumazanzahir Chek Ismail berkata, perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret, Amalina Johar.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad sebelum ini berkata, suspek yang ditahan merupakan seorang pemandu lori treler dengan ujian urin dijalankan mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine.
“Dalam kemalangan itu, tiga maut manakala dua lagi cedera selepas van dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori berasingan. Manakala pemandu kedua-dua lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN










