SINGAPURA: Lawrence Wong yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura malam semalam mahu negara republik itu menjadi tempat yang mempunyai laluan berbeza untuk menuju kejayaan.
Malah, beliau berharap semua lapisan masyarakat yakin akan perkara asas yang disediakan kerajaan seperti keperluan perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan persaraan, selagi rakyat bekerja secara konsisten.
Lawrence, 51, menambah bahawa dalam mempertimbangkan cara terbaik untuk membawa Singapura ke hadapan, negara itu perlu bersedia untuk melihat semula andaian asas apabila keadaan, keperluan dan jangkaan masyarakat berubah.
“Bukannya kita akan menyembelih seekor lembu suci demi berbuat demikian,” katanya dalam temu bual bersama The Straits Times, semalam.
Beliau mengangkat sumpah bersama barisan anggota Kabinetnya di Istana Singapura pada pukul 8.30 malam, semalam.
Sebagai Perdana Menteri, beliau menggariskan pendekatannya terhadap tadbir urus dan aspirasinya untuk Singapura.
“Kami bersedia untuk meneliti semula semua andaian dan mempertimbangkan dalam keadaan yang berbeza, jangkaan dan keperluan masyarakat yang berbeza,” ujarnya.
Katanya, proses ini bermula dengan latihan Forward Singapore yang melancarkan gerakan untuk menyegarkan semula kompak sosial bersama-sama dengan pasukan kepemimpinan generasi keempat Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Sebagai contoh, Singapura mengemas kini takrif perumahan awam dan menambah baik skim SkillsFuture dengan ketara.
Skim faedah pengangguran yang akan datang, kerajaan akan umumkan butirannya tidak lama lagi, tambahnya.
“Kini, dalam keadaan yang berbeza, menyedari bahawa persekitaran ekonomi akan menjadi lebih tidak menentu, kadar perubahan akan lebih pantas, kemajuan teknologi berterusan dan oleh itu, pekerjaan akan semakin terganggu, kami rasa perlu ada beberapa sistem sokongan sedia ada,” katanya.
Lawrence berkata, sistem itu mesti membuatkan rakyat Singapura yakin bahawa mereka akan dapat bangkit dengan lebih kuat daripada halangan.
“Dan jaminan ini, sokongan ini, perlu diberikan bukan sahaja oleh kerajaan sahaja, tetapi ia juga perlu diberikan oleh kita semua dalam masyarakat,” ujarnya.










