BEIJING: Ketabahan seorang isteri yang setia berada di samping suaminya akhirnya terbalas apabila lelaki itu tersedar daripada koma selepas 10 tahun.
Lapor South China Morning Post, Su Hongxia dari wilayah Anhui, China tidak pernah berputus asa dan sentiasa berharap suaminya akan pulih selepas berada dalam keadaan separuh sedar akibat serangan jantung pada 2014.
Siap sangka sikap dedikasi serta penjagaan penuh kasih sayang dan seikhlas hati selama bertahun-tahun akhirnya membantu suaminya pulih.
“Walaupun saya sangat letih sepanjang 10 dekad ini, kepenatan itu akhirnya terbalas selepas keluarga saya dapat disatukan semula,” katanya.
Klip video pasangan itu muncul dalam media sosial di China, yang menunjukkan Hongxia duduk di sebelah suaminya yang terjaga di atas katil.
Air mata menitis di wajah lelaki itu apabila isterinya menceritakan perubahan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Berkongsi kesabaran melalui ujian hidup itu, wanita itu berkata, dua anaknya sentiasa menjadi inspirasi kepadanya untuk terus kuat dan tidak berputus harapan.
Katanya, dia juga mahu menjadi contoh terbaik buat anak-anaknya.
“Fikiran saya hanya tertumpu kepada suami. Masa dan tenaga dihabiskan bagi memastikan suami selesa sepanjang keadaan tidak sedarkan diri,” kongsinya.
Koma berpanjangan menyebabkan beberapa masalah fizikal sehingga lelaki itu perlu menjalani prosedur pembedahan trakeostomi untuk membantunya bernafas dan membuang air kecil.
Walaupun usaha penjagaan itu menuntut tanggungjawab besar, dedikasinya tidak pernah goyah mahupun pudar ditelan arus masa.
Pengorbanan wanita itu menyentuh hati bapa mentuanya yang bersyukur kerana memiliki menantu sepertinya.
“Dia adalah menantuku, tetapi dia lebih baik daripada seorang anak perempuan. Tiada sesiapa yang boleh dibandingkan dengan sikapnya,” kata lelaki berusia 84 tahun itu.
Kisah realiti itu menyentuh hati pengguna media sosial sehingga menyifatkan ia sebagai kisah cinta sejati dan lelaki itu bertuah kerana berkahwin dengan wanita persis seorang ‘malaikat’.










