BAITULMUQADDIS: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan Amerika Syarikat (AS) adalah satu-satunya negara kuasa dunia yang boleh menghalang Israel daripada menyerang Rafah, bandar selatan Gaza di mana lebih 1.5 juta orang berlindung.
Lapor BBC, Mahmoud yang mengendalikan bahagian Tebing Barat berkata, setiap serangan tentera Israel boleh menyaksikan rakyat Palestin melarikan diri dari Gaza.
Malah, Israel secara konsisten berikrar untuk melakukan serangan di Rafah.
Bahkan, Presiden AS, Joe Biden mengulangi pendiriannya yang jelas mengenai Rafah kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menerusi panggilan telefon.
OPERASI SKALA BESAR DIBANTAH
Biden berulang kali memberitahu Netanyahu bahawa AS tidak boleh menyokong operasi ketenteraan Israel berskala besar di Rafah tanpa melihat rancangan yang boleh dipercayai untuk mengelakkan orang awam daripada bahaya.
Bercakap di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, Mahmoud menggesa AS untuk campur tangan.
“Kami merayu kepada AS untuk meminta Israel menghentikan operasi Rafah kerana AS adalah satu-satunya negara yang mampu menghalang Israel daripada melakukan jenayah ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa hanya dengan serangan kecil ke atas Rafah akan memaksa penduduk Palestin melarikan diri dari jalur Gaza.
“Seperti malapetaka terbesar dalam sejarah rakyat Palestin akan berlaku,” ujarnya.
KESESAKAN DI RAFAH
Lebih separuh daripada penduduk Gaza berada di Rafah dan keadaan di bandar selatan yang sesak itu sudah teruk dengan orang yang berpindah di sana memberitahu terdapat kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan.
Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby memberitahu rangkaian ABC bahawa Israel bersetuju untuk mendengar kebimbangan dan pemikiran AS sebelum membuat serangan.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken tiba di Riyadh di mana beliau akan mengadakan perbincangan dengan Mahmoud pada permulaan jelajah Asia Barat yang baharu.
Sementara itu, rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas mengenai kemungkinan gencatan senjata dan pembebasan baki tebusan di Gaza yang mendapat momentum baharu baru-baru ini mendedahkan lagi perpecahan dalam gabungan pemerintah Israel.
Anggota Kabinet perang dan tokoh pembangkang, Benny Gantz berkata bahawa kerajaan semasa tidak akan mempunyai hak untuk terus wujud jika perjanjian untuk mengembalikan tebusan tidak diterima.
“Memasuki Rafah adalah penting dalam perjuangan panjang menentang Hamas. Pemulangan mangsa culik adalah lebih penting,” kata Gantz di aplikasi X.
Sementara itu, Menteri Kewangan sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich bagaimanapun berkata kerajaan perlu meletakkan jawatan jika menerima perjanjian di mana serangan yang dirancang di Rafah dibatalkan.
Kenyataan dua menteri kanan Israel ini dibuat selepas Menteri Luar Israel berkata negara itu boleh menangguhkan pencerobohan di Rafah.
Netanyahu juga mahu langkah seterusnya dalam pertempurannya menentang Hamas, jika ada perjanjian tebusan.
Tentera Israel berkata, ketua mereka, Herzi Halevi sudah meluluskan rancangan untuk meneruskan perang dan media Israel merujuk kepada operasi Rafah.
HAMAS HANTAR WAKIL RUNDINGAN KE KAHERAH
Rundingan lama yang dikendalikan oleh Mesir dan Qatar sebahagian besarnya terhenti kerana jurang antara kedudukan Israel dan Hamas, tetapi kelmarin, Hamas berkata, ia akan menghantar wakil ke Kaherah untuk memberi tindak balas kepada cadangan terbaharu itu.
Media AS memetik pegawai Mesir yang tidak dinamakan sebagai berkata, cadangan gencatan senjata terbaharu yang diberikan kepada Hamas melibatkan tempoh beberapa minggu bertenang yang bertujuan untuk membawa pengakhiran perang, sebagai balasan kepada pembebasan 20 tebusan.
Hamas mahukan penamatan kekal kepada perang dan pengunduran semua tentera Israel dari Gaza manakala Israel menegaskan Hamas mesti dimusnahkan di Gaza dan semua tebusan dibebaskan.
Mesir dan negara-negara Arab lain sebelum ini berkata, kemasukan pelarian Palestin yang melarikan diri dari perang tidak boleh diterima kerana ia akan menyamai pengusiran rakyat Palestin dari tanah mereka.










