Kadar kelahiran rendah: Anak beban, bukan lagi aset?

Kadar kelahiran rendah: Anak beban, bukan lagi aset?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAHULU, wanita yang memiliki berbelas-belas anak sering dianggap bertuah dan beruntung oleh masyarakat.

Apatah lagi, jika zuriat yang dilahirkan berjaya dalam hidup dan mampu mendapatkan pekerjaan baik apabila dewasa kelak.

Kini, segalanya berbeza. Memiliki anak tiga hingga lima anak pun sudah dianggap ‘ramai’.

Bahkan, segelintir wanita turut hairan bagaimana ibu-ibu lain mampu beranak-pinak sedangkan dirinya ibarat orang tidak terurus dan terbeban, biarpun cuma membesarkan seorang cahaya mata.

Pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Syed Abdul Razak Sayed Mahadi berkata, situasi itu berlaku disebabkan perubahan sikap masyarakat terhadap nilai anak yang tidak lagi dianggap sebagai aset, sebaliknya liabiliti terutama bagi pasangan yang tinggal di kawasan bandar.

Hingga ada yang ‘takut’ dan berkira-kira untuk memiliki atau menambah zuriat.

Perubahan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada kemerosotan kadar kelahiran di negara ini.

“Zaman dulu, sosioekonomi penduduk tertumpu pada aktiviti pertanian dan anak diibaratkan sebagai aset.

“Kini, anak menjadi perkara membebankan kerana kos penjagaan termasuk makanan, lampin, susu serta pengasuh yang mahal. Itu tidak termasuk komitmen bulanan seperti sewa rumah dan bayaran utiliti lain lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai isu kadar kelahiran rendah baru-baru ini

Dalam tempoh 50 tahun lalu, kadar kelahiran di negara ini menurun dari­pada 6.7 kanak-kanak bagi setiap wanita pada 1957, kepada empat pada 1980, tiga pada 2000 dan 2.1 pada 2010.

Turut direkodkan ialah kadar kesu­buran terendah de­ngan purata 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun pada 2022.

RM1,000 SEORANG ANAK
Kajian dilakukan Syed Abdul Razak di Kampung Kerinci mendapati wanita B40 membelanjakan gaji antara RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi keperluan seorang anak.

Peruntukan tinggi itu sekali gus memberi kesan kepada perubahan sikap mereka terhadap nilai anak.

“Setiap ibu bapa pasti mahu memberikan yang terbaik pada zuriat mereka terutama untuk anak pertama.

“Tetapi dengan kos yang makin meningkat, pasangan di bandar mula berfikir apakah mereka sesuai ada anak lagi di masa depan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syed Abdul Razak mengakui ada segelintir pasangan muda memilih untuk tidak ada anak.

Tinjauan dilakukan terhadap 200 responden mendapati isu kelahiran dan kesuburan makin terhakis dalam masyarakat akibat tekanan ekonomi.

“Contoh paling mudah adalah makanan. Orang dulu bagi anak makanan ringkas-ringkas pun sudah cukup.

“Kini, cabaran ibu bapa bukan daripada segi penyediaan makanan sahaja, tetapi kos kehidupan harian anak pun sudah tinggi,” katanya.

Justeru, tidak hairanlah apabila ada segelintir wanita yang sanggup melepaskan kerjaya semata-mata untuk menjaga anak bagi menstabilkan pendapatan keluarga.

Bagaimanapun, beliau mengakui keharmonian keluarga berisiko tergugat jika pendapatan keluarga berkurangan dan kuasa beli menurun.

 

WANITA UTAMA KERJAYA
Faktor lain mempengaruhi penurunan kadar kelahiran ialah keutamaan wanita pada kerjaya dan pendidikan.

Menurut Syed Abdul Razak, semakin lama, semakin ramai wanita di negara ini berpendidikan tinggi dan terlibat dalam dunia pekerjaan.

Ia sekali gus mendorong golongan itu untuk menangguhkan perkahwinan dan kelahiran.

Bila mencecah usia 40 tahun pula, rata-rata wanita menolak untuk melahirkan bayi disebabkan risiko kesihatan.

“Jika berkahwin di usia 30 tahun misalnya, wanita cuma ada 10 tahun sahaja lagi untuk hamil.

“Dalam tempoh itu, barangkali mereka hanya mampu memiliki satu atau dua anak sahaja kerana fokus pada kerjaya dan kekangan lain,” katanya.

 

SEDIA BANTUAN SOSIAL
Bagi meningkatkan kadar kelahiran, Syed Abdul Razak menyarankan kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan sosial kepada pasangan muda.

Ujarnya, pemberian insentif melahirkan anak belum mencukupi dan perlu ditambah baik dengan sistem sokongan lain.

Antaranya pelepasan cukai dan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat.

“Walaupun kerajaan bagi duit jika beranak tetapi kos itu hanya bersifat one-off dan bukan berterusan sehingga anak-anak besar.

“Penambahbaikan sistem sokongan dipercayai dapat mengukuhkan ekonomi keluarga, sekali gus menyakinkan pasangan untuk memiliki lebih ramai anak,” katanya.

Syed Abdul Razak turut melahirkan kebimbangan mengenai hasrat Malaysia menuju ke arah negara maju boleh tergugat sekiranya kadar kelahiran dan kesuburan terus menurun.

Isu itu boleh menjadi sangat membimbangkan dalam jangka panjang terutama bagi industri yang memerlukan tenaga kerja ramai dan mahir.

‘JANGAN KECAM PASANGAN RANCANG ANAK’
Pengasas platform kewangan, Financial Faiz, Faiz Azmi meminta masyarakat tidak menyalahkan mana-mana pasangan yang merancang cahaya mata.

Sebaliknya hormatilah keputusan dibuat kerana ia dilakukan selepas mengambil kira pelbagai faktor dan sumber termasuk gaji dan masa.

Malah katanya, tidak salah merancang anak, malah semua orang ada hak untuk berbuat demikian.

“Bayangkan, jika sumber kewangan terhad, bukankah itu akan membantutkan tumbesaran anak-anak hingga dewasa.

“Perancangan keluarga dan kewangan yang baik dapat membantu pasangan bersiap siaga jika ditimpa sebarang musibah,” katanya.

Tegasnya, kebanyakan pasangan muda hidup dalam keadaan survival dan cukup-cukup makan hingga ada yang terpaksa ikat perut.

“Orang selalu kata anak adalah rezeki tetapi untuk membuka pintu rezeki itu, ibu bapalah yang perlu berusaha dan bersengkang mata setiap hari.

“Walaupun ada segelintir suami isteri sudah merancang dengan baik tetapi duit masih setakat itu sahaja dan komitmen bulanan kekal tinggi, maka secara automatik, minda mereka tidak mahu tambah anak,” katanya.

 


PENGANTIN BAHARU MAHU 1,2 ANAK

Melayari bahtera perkahwinan pada 9 Februari lalu, Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli, 31, dan suaminya, Mohd. Khusyairil Samsuddin, 39, sepakat untuk memiliki antara satu hingga dua anak sahaja.

Wanita asal Terengganu itu berkata, keputusan itu dibuat kerana komitmen pada kerjaya masing-masing di samping kos hidup yang meningkat, kekangan masa dan usia.

Mereka merupakan pasangan jarak jauh (PJJ) dengan suami menetap di Kemaman manakala dia tinggal di Setiu.

“Suami merupakan pegawai perhilitan dan sering berada di dalam hutan, jadi faktor-faktor itu diambil kira kerana bukan mudah untuk wanita berkerjaya menguruskan anak bersendirian.

“Paling mustahak, kami tidak mahu anak terabai daripada segi kasih sayang dan kewangan jika tiada perbincangan khusus tentang cahaya mata ini,” katanya yang merupakan wartawan sambilan.

Menurut Wan Zuratikah Iffah, hal-hal berkaitan perancangan keluarga sudah dimuktamadkan sejak fasa bertunang lagi.

Katanya, kos hidup di luar bandar tetap tinggi, malah upah pengasuh di sekitar Setiu boleh mencecah hingga RM400 sebulan untuk bayi tidak termasuk perbelanjaan lain seperti lampin, susu, makanan dan perubatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×