KUALA LUMPUR: Syarikat pencetak akhbar Harakah memohon Mahkamah Tinggi di sini membatalkan rayuan yang difailkan oleh parti Pas berhubung penghakiman terus yang memerintahkan parti berkenaan membayar hutang berjumlah RM656,233.69.
Permohonan tersebut difailkan plaintif, N.A.J Press Resources (M) Sdn. Bhd. melalui firma guaman, Tetuan Putra Taulan & Faiq Azizan pada 10 Januari lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
Selain Pas, plaintif turut menamakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung Pas dan penerbit akhbar Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. sebagai defendan kedua dan ketiga.
LUAR TEMPOH
Mengikut afidavit sokongan yang difailkan, N.A.J Press memohon rayuan itu dibatalkan kerana ia telah difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan, cacat, defektif dan tidak sempurna.
Ujar syarikat percetakan itu, notis rayuan sepatutnya diserahkan kepada peguam mereka dalam tempoh 14 hari bermula daripada tarikh penghakiman pada 6 Disember 2023.
“Penelitian terhadap surat iringan notis rayuan peguam cara defendan dan penyampaian kendiri hanya dibuat dan diterima pliantif pada 28 Disember 2023,” ujar plaintif.
Selain itu, N.A.J. Press turut memohon rayuan tersebut dibatalkan atas alasan ia merupakan satu perkara yang mengaibkan, remeh, menyusahkan dan satu salah guna kuasa dan prosedur mahkamah.
Sementara itu, berdasarkan afidavit jawapan parti itu yang dilihat oleh media, Pas menyatakan bahawa kelewatan itu bukanlah satu perkara yang disengajakan.
Kelewatan itu juga didakwa tidak memprejudiskan plaintif.
Selain itu, defendan menyatakan bahawa peguam plaintif tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan apabila diserahkan notis rayuan tersebut pada 28 Disember 2023.
Pada 6 Disember lalu, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan N.A.J. Press untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap kesemua defendan.
Penghakiman terus melibatkan prosedur tuntutan saman diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terlibat atau undang-undang, tidak dipertikaikan.
Pada 2 Oktober 2023, N.A.J. Press memfailkan permohonan untuk penghakiman terus terhadap kesemua defendan atas alasan defendan-defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan yang bermerit mahupun sebarang isu yang boleh dipertikaikan.
Menurut penyata tuntutan yang difailkan syarikat percetakan tersebut pada 11 Julai 2023, plaintif telah beberapa kali membuat tuntutan terhadap baki bayaran perkhidmatan mencetak akhbar Harakah.
N.A.J. Press juga telah menghantar surat tuntutan bertarikh 3 April 2019 untuk menuntut baki bayaran dan pada ketika itu defendan melalui surat Harakah bagi pihak Pas bertarikh 8 April 2019 mengakui berhubung jumlah tunggakan tersebut dan berjanji untuk melunaskan bayaran tersebut namun masih gagal berbuat demikian.
Plaintif kemudian menghantar surat peringatan kepada Pas dan Harakah bertarikh 5 Ogos 2019 yang dihantar kepada Takiyuddin selaku Setiausaha Agung parti bagi menuntut tunggakan baki bayaran itu namun sehingga kini, kesemua defendan masih gagal membuat pembayaran. – UTUSAN










