Sistem kemanusiaan bakal runtuh di Gaza

Sistem kemanusiaan bakal runtuh di Gaza, bantuan bertahan sehingga Februari

KANAK-kanak dan golongan dewasa Palestin berkumpul merayu supaya bantuan pembiayaan diteruskan menerusi UNRWA di Rafah, selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Para pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa penarikan dana untuk agensi bantuan utamanya di Gaza boleh membawa kepada keruntuhan sistem kemanusiaan.

Mereka bersuara selepas Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara Eropah lain menghentikan pembiayaan berhubung terdapat dakwaan beberapa ka­kitangan PBB terlibat dalam serangan Hamas 7 Oktober lalu ke atas Israel.

Bagaimanapun, PBB dilaporkan memecat beberapa kakita­ngannya di atas dakwaan itu.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres berkata, siasatan bebas penuh terhadap Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) sedang dijalankan.

OPERASI SETAKAT FEBRUARI

Sementara itu, Jurucakap UNRWA berkata, jika pembiayaan tidak disambung semula, agensi itu tidak akan dapat meneruskan operasinya selepas penghujung Februari.

“Tuduhan penglibatan beberapa kakitangan UNRWA dalam serangan kejam ke atas Israel pada 7 Oktober lalu adalah amat mengerikan,” ujarnya.

Jurucakap Jawatankuasa Tetap Antara Agensi PBB pula berkata, sebagai memetik kata Guterres, mana-mana pekerja PBB yang terlibat dalam keganasan perlu bertanggungjawab dengan tindakan mereka.

Bagaimanapun, kata­nya, sesiapa pun tidak boleh menghalang seluruh organisasi itu melaksanakan mandatnya untuk berkhidmat kepada orang yang sangat memerlukan.

“Mengeluarkan dana daripada UNRWA adalah berbahaya dan akan mengakibatkan keruntuhan sistem kemanusiaan di Gaza dengan kesan kemanusiaan dan hak asasi manusia yang meluas di wilayah Palestin yang diduduki dan di seluruh rantau ini.

“Dunia tidak boleh meninggalkan penduduk Gaza,” kata jurucakap itu dalam satu kenya­taan.

DITUDUH BERSEKONGKOL

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Ne­tanyahu menyifatkan UNRWA sebagai bersekongkol dengan Hamas.

Malah, beliau mengatakan Israel mengesan terdapat 13 pekerja UNRWA benar-benar terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam serangan pada 7 Oktober lalu.

Namun, AS sebagai pen­derma terbesar kepada UNWRA berkata, ia mahu melihat agensi bantuan itu meneruskan tugasannya.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, tiada pemain kemanusiaan lain di Gaza yang boleh menyediakan makanan, air serta ubat-ubatan pada skala yang UNRWA lakukan.

“Kami mahu melihat kerja itu diteruskan, itulah sebabnya sa­ngat penting bagi PBB mengambil serius perkara ini supaya mereka menyiasat bahawa terdapat akauntabiliti bagi sesiapa yang didapati terlibat dalam salah laku,” katanya.

Dalam serangan pada 7 Oktober lalu, kumpulan pejuang Hamas membunuh kira-kira 1,300 orang dan mengambil kira-kira 250 tebusan Israel.

Israel melancarkan serangan terhadap Hamas sebagai tindak balas dan lebih 26,700 orang terbunuh di Gaza sejak itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas di wilayah itu.

Lebih separuh daripada ba­ngunan Gaza rosak atau musnah dalam serangan itu.

TIADA PENGGANTI UNRWA

Penyelaras kemanusiaan PBB untuk Gaza berkata, tiada organisasi lain boleh menggantikan UNRWA kerana pengetahuan agensi itu mengenai penduduk di Gaza.

Negara lain yang menghentikan pembiayaan termasuk Jerman, Sweden dan Jepun.

Guterres dilaporkan bertemu dengan lebih 30 wakil negara penderma kelmarin dan akanmenggesa mereka yang menarik balik pembiayaan untuk mempertimbangkan semula tindakan berkenaan. –BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×