Kanak-kanak Rafah berdikari cari makanan untuk keluarga

Kanak-kanak Rafah berdikari cari makanan untuk keluarga

KANAK-kanak Palestin menunggu untuk mengutip makanan di pusat sumbangan di kem pelarian di Rafah di selatan Gaza pada 23 Disember 2023.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menjadi satu kelaziman buat anak-anak kecil di Rafah keluar dari khemah masing-masing untuk mencari makanan bagi menghalang ahli keluarga mereka kelaparan.
Mereka sanggup berjalan-jalan tanpa pengawasan orang dewasa sambil membawa plastik besar, besen atau apa sahaja yang boleh diisi dengan makanan.

MISI MENCARI MAKAN

Berkongsi kisah kanak-kanak ini, setiap pagi, Mohammed Zo’rab, 11, keluar ke bandar Rafah di selatan Gaza untuk menjalankan misinya mencari makanan.

Dia mengambil mangkuk, plastik besar dan menuju ke sekolah yang menjadi pusat pela­rian dan ke kem sementara di tepi jalan.

Mohammed juga pergi ke hospital di mana mangsa yang cedera tiba selain mungkin terdapat periuk makanan mendidih di atas api terbuka.

“Apabila saya kembali kepada keluarga saya dengan makanan ini, mereka gembira dan kami semua makan bersama-sama.

“Kadang-kadang, saya pulang dengan tangan kosong dan saya berasa sedih,” katanya.

Mohammed merupakan anak sulung daripada empat orang anak dan tinggal bersama ibu, bapa dan adik-beradiknya di sebuah tempat perlindungan yang diperbuat daripada plastik.

BAPA CARI KERJA

Bapanya, Khaled, berkeliaran di sekitar Rafah mencari pekerjaan untuk mengumpul lima shekel (kira-kira AS$1.38 atau RM6.59) untuk membeli lampin untuk anak perempuan mereka yang berusia dua bulan, Ho­waida.

Mohammed merupakan satu daripada ribuan kanak-kanak yang menjadi pengumpul makanan utama untuk keluarga mereka.

“Apabila barisan itu sesak dan terdapat hampir 100 orang di hadapan saya, saya menyelinap di antara orang ramai,” katanya, bangga dengan kemahirannya yang dapat menyelinap di ce­lah-celah orang ramai tanpa terlibat dalam pergaduhan.

Balik ke rumah, dia menye­rahkan mangkuk kacang panggang kepada ibunya, Samar, yang mengagihkan makanan kepada anak-anak lain. Dia kurus dan hampir sendiri tidak makan.
Samar memberitahu dirinya mempunyai kanser tulang.

BADAN AMAL BERI BANTUAN

Di Gaza, sebuah badan amal menggunakan baki sumber makanan mereka untuk memberikan sedikit bantuan.

Mahmoud Al-Quishawi dari badan amal Pious Projects of America yang berpangkalan di Amerika Syarikat berdiri dekat dengan periuk kacang mendidih di mana Mohammed menerima makanan untuk keluarganya.

“Kami berusaha tanpa jemu setiap hari untuk menghulurkan bantuan kepada orang-orang ini… untuk memberitahu mereka ‘kami bersama anda, kami tidak akan membiarkan anda bersendirian’,” kata Mahmoud.

Badan amal kehabisan gas dalam tong untuk memanaskan makanan, jadi sukarelawan mengumpulkan kayu dan memastikan api tetap menyala.

“Suasana suram. Keadaan adalah malapetaka,” ujarnya.

Di utara Gaza, terdapat laporan kanak-kanak mati akibat kekurangan zat makanan.

Badan amal British Action Aid memetik seorang doktor di utara Gaza sebagai berkata bahawa sejumlah besar kanak-kanak meninggal dunia.

KURANG ZAT MAKANAN

Menurut Action Aid, satu daripada enam kanak-kanak di bawah umur dua tahun yang disaring di pusat perlindungan dan pusat kesihatan IDP (orang yang dipindahkan secara dalaman) pada bulan Januari didapati kekurangan zat makanan akut.

Dalam rakaman video, Ketua Pediatrik Hospital Kamal Adwan, Dr. Hussam Abu Safiya berkata, kekurangan zat makanan berleluasa serta jangkitan pada sistem penghadaman.

Seorang lagi doktor di Kompleks Perubatan Al-Shifa, juga di utara Gaza berkata, dia me­rawat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua bulan bernama Mahmoud Fatouh yang mening­gal dunia tidak lama selepas tiba di hospital.

“Anak ini tidak dapat diberi susu. Ibunya tidak dibekalkan makanan untuk menyusukannya,” kata Dr Amjad Aliwa.

“Dia mengalami simptom dehidrasi teruk dan dia menghembuskan nafas terakhirnya, di hospital,” ujarnya.

Di Gaza, orang awam terperangkap di mana perang dan kelaparan meme­rangkap mereka. – BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×