Israel dakwa serangan Hamas 7 Oktober lalu libatkan serangan

Israel dakwa serangan Hamas 7 Oktober lalu libatkan serangan seksual 

PENUNJUK perasaan memakai solekan darah palsu dan memegang sepanduk bertajuk "rogol bukan penentangan" di luar ibu pejabat BBC, di London, pada 4 Februari lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel selatan didakwa melibatkan serangan seksual yang sistematik dan sengaja ke atas orang awam.

Satu laporan yang dikeluarkan oleh kumpulan Israel berkata, pegawainya berulang kali mendakwa pejuang Hamas melakukan serangan seksual ganas seperti rogol berkumpulan dan mencacatkan alat kelamin.

Tetapi kekurangan testimoni dan bukti forensik menyukarkan penilaian skala dakwaan mereka. 

Bagaimanapun, pergerakan Hamas secara mutlak menafikan dakwaan ini.

Persatuan Pusat Krisis Rogol di Israel, sebuah badan yang memerangi keganasan seksual berkata dalam laporan, serangan seksual pada 7 Oktober lalu sepadan dengan corak keganasan seksual zaman perang yang didokumenkan dalam kesusasteraan.

Dalam laporan itu lagi, serangan seksual berlaku di setiap kawasan serangan dan turut dilakukan sewaktu perayaan muzik Nova.

Perayaan Nova dijalankan pada 7 Oktober lalu melibatkan kira-kira 3,000 orang muda yang berkumpul kurang daripada 10 kilometer dari sempadan Gaza ketika serangan itu berlaku.

Seramai  364 orang dilaporkan maut.

Kata laporan itu, di Kibbutz Beeri, berpuluh-puluh penduduk terbunuh dan penyelamat mendakwa menemukan mayat dengan tanda-tanda serangan seksual.

Menurut laporan itu lagi, di pangkalan tentera yang diserang, seorang pegawai tentera berkata, terdapat tanda-tanda jelas keganasan seksual terhadap sekurang-kurangnya 10 tentera wanita.

Testimoni tebusan yang dibebaskan dari kurungan juga menunjukkan bahawa tawanan menghadapi ujian yang sama.

Berdasarkan keterangan saksi, temu bual maklumat awam dan sulit, pejuang Hamas didakwa lakukan jenayah itu secara sistematik dan sengaja terhadap orang awam Israel,.

Kata laporan itu lagi, dakwaan itu bagaimanapun tidak mempunyai keterangan mangsa sendiri.

“Kebanyakan rogol dilakukan secara berkumpulan dengan penyertaan pengganas yang ganas,” kata laporan itu.

Seorang mangsa yang terselamat dari serangan perayaan Nova menyifatkan kesan serangan pada acara itu sebagai ‘kiamat’.

Laporan itu yang turut mengandungi huraian grafik berkata, penderaan juga berlaku pada lelaki.

Chen dan Agam Goldstein yang dibebaskan selepas 51 hari ditahan menyatakan bahawa mereka menemukan sekurang-kurangnya tiga tebusan wanita yang mengalami serangan seksual semasa dalam tahanan.

Testimoni dan maklumat yang diberikan menunjukkan bahawa serangan seperti itu berlaku di hadapan khalayak, termasuk ahli keluarga, ahli komuniti atau saudara-mara lain, tambahnya.

Serangan 7 Oktober itu mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Sejak itu, serangan balas tentera Israel di Gazamembunuh sekurang-kurangnya 29,313 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.-AFP

​

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×