RAMAI nama pereka fesyen seangkatan dirinya sudah lama tidak kedengaran atau muncul dalam mana-mana platform media.
Namun, jenama ditampilkan wanita yang satu ini kekal bertahan buat tahun yang ke-24, tahun ini.
Pereka fesyen, Melinda Looi, 51, tidak perlu tanda pengenalan lagi. Hasil sentuhan tangan wanita ini sememangnya dikenali menggabungkan unsur-unsur budaya Timur dan Barat.
Kesungguhan dirinya mempamerkan personaliti unik, sehingga memperoleh pengiktirafan dalam industri fesyen global.
Mesra disapa Mell, beliau sangat cemerlang dalam memecahkan sempadan reka bentuk tradisional, mencipta fesyen tersendiri sehingga menarik perhatian.

Jenamanya mewakili inovasi, kepelbagaian budaya, dan semangat berdikari, menjadikannya rebutan dalam kalangan penggemar fesyen dan selebriti.
Namanya kembali hangat baru-baru ini apabila bekerjasama dengan penyanyi, Aina Abdul untuk koleksi sunray pleats iaitu koleksi ‘awan’ yang dihasilkan.
Karya-karya yang ditampilkan menjadikan namanya sohor, bagaikan mengembalikan kegemilangan fesyen tempatan.
Ibu empat anak ini ialah tokoh penting dalam persada fesyen Malaysia, terkenal dengan ciptaannya yang mengagumkan dan mempesonakan.
“Jangan mudah berputus asa dalam apa-apa bidang yang kita lakukan. Sentiasa positifkan minda dan bersedia mengharungi cabaran dan dugaan yang mendatang.
“Nothing is easy. Kesukaran bukan halangan sebaliknya kita perlu tempuhinya. Sukar bagaimana sekalipun, sentiasa berusaha mencari solusi.
“Saya selalu berpesan kepada staf, jadilah seorang penyelesai masalah bukannya panik atau stres. Apabila kita kekal dengan pemikiran begitu, anda akan hadapinya dengan mudah,” katanya kepada Seri.
Mell sewaktu ditemui sempena pembukaan Melinda Looi Concept Store di Starhill Gallery, Bukit Bintang mengenakan cheongsam moden berwarna merah.
Ujar pereka ini, industri fesyen adalah bisnes yang sangat ‘berharga’. Justeru, pereka muda perlu kreatif dalam berimaginasi dan memiliki ketekunan yang tinggi.
Untuk berjaya dalam bidang fesyen bukan mudah. Empayar yang dibina bukan mengambil masa satu hari, sebaliknya menuntut perjalanan yang panjang dan berliku.
“Sabar dan tabah adalah tunjang utama. Ini adalah bisnes yang sangat mahal dan akan kekal berterusan tanpa henti.
“Contohnya kita buat koleksi untuk musim Tahun Baharu Cina, selepas itu kita perlu bersedia dengan koleksi musim lain pula.
“Di belakangnya, adalah kerja keras tanpa henti dan jemu. Inilah elemen paling penting untuk berjaya dalam industri fesyen.
“Walaupun bekerja keras, kita sendiri sebagai majikan perlu sentiasa positif supaya pekerja, pasukan dan orang sekeliling gembira bekerja dengan kita,” tegasnya.
PERSAINGAN ITU BIASA

Disoal persaingan dengan jenama fesyen terkenal lain, wanita bertubuh kecil ini melihatnya sebagai sesuatu yang baik.
Beliau sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah gentar menempuhi cabaran serta meletakkan kepercayaan tinggi terhadap diri sendiri.
“Mana-mana persaingan dalam dunia perniagaan adalah baik kerana ia membantu anda untuk memperbaiki diri. Anda perlu melayannya sebagai persaingan sihat.
“Jika anda mempunyai ketakutan, atau bimbang akan tewas kepada orang lain, anda tidak akan dapat melakukan apa yang dirancang,” tegasnya.
Mengenai hala tuju perniagaan, wanita yang aktif ke gimnasium ini berhasrat mengembangkan Mell sebagai sebuah jenama yang dikenali.
Yakin dengan potensi Mell, beliau juga mahu jenama ini dikenali sebagai pakaian yang memiliki harga berpatutan dan mampu dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Mell adalah jenama yang kita tubuhkan sejak 2003. Pernah berhenti seketika pada 2009.
“Kini, selepas lebih 10 tahun, saya mahu Mell dikenali sebagai fesyen yang tidak terlalu mahal.
“Masa depan Mell juga agak baik dengan beberapa kolaborasi sudah dijalinkan sejak tahun lalu.
“Saya mahu orang ramai boleh memakai barangan berjenama tetapi dengan harga mampu milik,” jelasnya.
Terkini, wanita ini meraikan pencapaian baharu apabila kedai fizikal bernama Melinda Looi Concept Store di Eslite Spectrum @ Starhill KL, mula dibuka.
“Bukan sahaja pakaian, tetapi kami juga mempunyai pelbagai barangan lain seperti aksesori, coaster.Kami berharap dapat meningkatkan rangkaian produk pada masa hadapan,” katanya.
MENDUNIA

Sebaik menamatkan pengajian kursus jangka pendek dalam seni fesyen di LaSalle Fashion School, Kuala Lumpur, pada 1995, Mell terus melangkah menggapai cita-citanya.
Beliau meraih anugerah Pereka Muda Malaysia 1995 di Kuala Lumpur sekaligus melayakkan dirinya menerima biasiswa ke La Salle School of Fashion di Montreal, Kanada.
“Bermula dengan mereka kostum pentas bagi produksi di Malaysia dan Kanada, wanita ini berani menceburi dunia fesyen yang lebih mencabar.
“Sekolah fesyen LaSalle adalah tempat latihan yang bagus. Banyak sekolah fesyen yang bagus di ibu kota, atau Malaysia secara keseluruhannya.
“Bagi saya, semua sekolah adalah sama. Perkara utama adalah mengetahui lokasi terbaik untuk diri sendiri.
“Apa yang anda ingin pelajari atau jurusan yang diinginkan sama ada ingin menjadi hebat dalam akademik atau mempunyai kemahiran yang tinggi,” jelasnya.
Dibesarkan dalam suasana kilang sejak kecil membuatkan wanita ini perlu mengambil kos separuh masa mengenai jahitan dan potongan di kolej berkenaan.
Katanya, beliau tidak dimanjakan seperti kanak-kanak lain yang mungkin lebih mengenali anak patung berbanding kain dan gunting.
“Ayah saya buat fabrik pleats (lipatan) seperti legenda fesyen di Jepun, Issey Miyake. Ibu pula ada seorang tukang jahit di kilang dan banyak menghasilkan jahitan.
“Saya banyak membesar dalam suasana begini. Tidak seperti kanak-kanak lain yang dimanjakan dengan anak patung. Masa cuti saya banyak dihabiskan di kilang milik keluarga yang terletak di Cheras dan Jalan Kenanga,” kongsinya.
Ditanya detik menceburi bidang fesyen, Mell berkata, beliau bermula dalam bidang ini sejak zaman kanak-kanak secara tidak rasmi.
Pejam celik, katanya, lebih dua dekad dirinya bergelar pereka fesyen dengan pelbagai anugerah dan pencapaian yang diraih.
“Detik terindah pastinya dinobatkan sebagai pemenang di Asia Pacific Young Designer Award 2000 di Hong Kong.
“Sebagai wakil Malaysia di pentas antarabangsa, kemenangan itu amat bererti. Saya juga pernah mewakili Malaysia dalam Minggu Fesyen Dunia 2013 di Paris.
“Pencapaian terkini pula adalah SEBA awards pada tahun lalu,” katanya yang menginspirasikan Coco Chanel dan Issey Miyake dalam bidang fesyen.
INSPIRASI, KERJA AMAL

Antara produk keluarannya ialah Melinda Looi Couture, Melinda Looi Pret-a-Porter, MELL, MELL BASICS dan emel by Melinda Looi yang hasilkan mengikut segmen pelanggannya seperti pakaian tempah, ranggi atau pakaian sopan.
Beliau turut aktif menjalin kerjasama dengan pelbagai rakan perniagaan lain seperti Levi’s, Swarovski, TUMI dan sebagainya.
“Asalnya saya hanya bermula di sebuah reruai kecil di Isetan pada 2000. Paling lama adalah galeri jualan di Bangsar.
“Selepas itu, perniagaan makin lama makin berkembang hasil titik peluh sendiri membangunkan empayar sendiri,” katanya.
Kata Mell, terdapat tiga wanita yang banyak mempengaruhi perjalanan kariernya.
Ibunya adalah tukang jahit yang hebat, nenek pula usahawan berjaya walau tidak pernah bersekolah.
Sementara tenaga pengajar fesyen di Kolej LaSalle, Simonetta Mariano adalah profesor yang menjadi teman rapatnya.
Mell terlibat secara aktif dalam aktiviti amal dan kemasyarakatan dan sentiasa memberikan sumbangan cemerlang kepada masyarakat.
Antaranya, beliau pernah menjayakan kempen ‘MelPowering Pink’ iaitu kempen kesedaran kanser payudara, tahun lalu.
“Melalui kempen ini, kita berjaya menggabungkan 10 organisasi bukan kerajaan (NGO) serta selebriti terkenal untuk sama-sama berkolaborasi.
“Hasil kutipan dan sumbangan yang diterima kita salurkan kepada Cancer Research Malaysia. Melalui kempen itu juga kita anjurkan bengkel serta perkongsian daripada pejuang kanser,” kongsinya.
SAMBUTAN TAHUN NAGA

Sambutan Tahun Baharu Cina pastinya membawa makna berharga buat penganut Buddha yang menyambutnya setiap tahun.
Dapat berkumpul, bergelak tawa dan meluangkan masa bersama pastinya antara detik paling dinantikan.
Begitu juga buat Mell. Detik berkumpul bersama ahli keluarga dan sanak saudara pasti tidak akan dilepaskan dan diisi dengan sebaiknya.
Katanya, kanak-kanak termasuk ahli keluarga yang masih bujang pula tidak sabar menantikan angpau merah kerana jumlahnya juga boleh jadi berbeza daripada setiap pemberi.
“Hari pertama kami akan duduk makan besar bersama selain dapat berjumpa saudara mara. Anak-anak saudara pula gembira kerana dapat bermain bunga api.
“Saya rajin juga masak. Kalau ada masa terluang, saya masak pelbagai lauk-pauk Cina seperti Ayam Pong Teh, Ketam Bercili, Ayam Lada Hitam Cendawan dan Ketam Telur Masin,” kongsinya.
Sempena Tahun Naga yang disambut kali ini, Mell memperkenalkan koleksi yang mempunyai banyak ‘pleats’ (lipatan).
“Kami ada koleksi cheongsam, campuran fabrik dan tekstur seperti batik dan lipatan.
“Bagi jenama Mell by Melinda Looi, kami mempunyai koleksi yang lebih besar, dengan cheongsam, gaun, mandarin top dan skirt,” kongsinya.

NAMA: Melinda Looi
UMUR: 51
ASAL: Kuala Lumpur
KELULUSAN:
*La Salle School of Fashion, Montreal, Kanada
*Seni Fesyen di LaSalle Fashion School, Kuala Lumpur (1995)
ANUGERAH
*SME and Entrepreneurs Business Award 2023 – usahawan fesyen
*Designer of the Year 2004, 2006, 2009 (Malaysian International Fashion Awards & Mercedes Benz STYLO Fashion Awards)
*Malaysia Young Designer Awards, 1995
*Menyertai Festival Fesyen Islamik di Jakarta, Indonesia, London, New York, Monte Carlo, Frankfurt dan Kuala Lumpur.
KOLEKSI
* Melinda Looi Couture
* Melinda Looi Pret-a-Porter
* Mell
* MEll Basics
* emel by Melinda Looi
IDOLA:
*Issey Miyake
*Coco Chanel










