Hormat perundangan Islam - Mufti

Hormat perundangan Islam – Mufti

ABDUL RAHMAN OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masyarakat bukan Islam perlu menghormati dan bukannya mencampuri urusan hal ehwal Islam dengan mempertikaikan mana-mana perundangan Islam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, beliau menjunjung titah Sultan Selangor berhubung orang bukan Islam tidak perlu masuk campur hal ehwal orang Islam dan menghormati perundangan Islam.

“Orang bukan Islam sepatutnya hormat dengan perundangan Islam dan jangan usik agama Islam kerana ia agama yang mulia selain ia agama rasmi negara ini,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan supaya mereka yang bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia.

Tuanku bertitah selepas merujuk cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang menyarankan kerajaan agar melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.

Abdul Rahman berkata, beliau melihat tidak ada ketegasan dalam kalangan orang Islam sendiri menyebabkan orang bukan Islam tidak hormat dan melawan beberapa perundangan Islam.

Tambahnya, kesan daripada itu akan menyebabkan masyarakat kacau-bilau yang boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum.

“Isu perbalahan sekarang bukanlah (dicetuskan) dari orang Islam tetapi dari mereka yang bukan Islam cuba mengusik dan mencabar perundangan hal ehwal Islam,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, mana-mana pemimpin perlu memperbanyakkan dakwah mengikut ajaran baginda Rasulullah SAW bagi memberi kefahaman agama Islam supaya isu sebegini tidak berlaku.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad senada berkata, cadangan Koo Ham itu tidak berasas kerana hanya pakar perundangan Islam yang tahu selok belok perundangan itu.

Jelasnya, mereka yang dilantik di bawah Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam adalah pakar-pakar dalam perundangan Islam yang sudah faham penubuhannya.

“Perlembagaan sudah memberi peruntukan jelas tentang bidangkuasa mereka. Andai kata ada penggubalan dilihat seperti bertindih atau perlu digubal, hanya orang Islam juga yang memahami perundangan Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×