EPIC Berhad peruntuk RM2.3 juta jayakan CSR - Utusan Malaysia

EPIC Berhad peruntuk RM2.3 juta jayakan CSR

AHMAD Amzad Hashim (tengah) menyampaikan barangan keperluan sekolah kepada seorang murid pada program 'EPIC Back To School 2024' di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta untuk pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun 2024.

Pengarah EPIC Berhad, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia adalah peningkatan berbanding RM2.2 juta yang telah disalurkan untuk program CSR sepanjang tahun lepas.

Menurutnya, antara program CSR yang dijalankan ialah dalam bidang pendidikan untuk murid daripada keluarga berpendapatan rendah, bola sepak dan atlet basikal Terengganu.

“Pada awal tahun ini, kita peruntukkan RM58,000 untuk dua siri program ‘EPIC Back to School 2024’ bagi membantu 100 murid kurang bernasib baik di Kemaman dan Kuala Terengganu.

“Program yang melibatkan lapan buah sekolah rendah ini merupakan tradisi tahunan syarikat dan salah satu CSR di bawah inisiatif EPIC Celik yang memberikan fokus kepada usaha menyokong pembangunan mampan dan menyeluruh sektor pendidikan di Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan
sempena program ‘EPIC Back To School 2024’ di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 50 murid dari tujuh buah sekolah di daerah ini menerima sumbangan tersebut.

Setiap murid menerima sumbangan bernilai RM400 yang disalurkan dalam bentuk barangan sekolah dan baucar tunai membeli barangan keperluan ke sekolah seperti kasut, beg dan uniform

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili berkata, pemilihan murid adalah dari golongan keluarga berpendapatan rendah, anak yatim dan golongan asnaf.

“Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok; SK Pusat Chabang Tiga; SK Paloh; SK Wakaf Mempelam; SK Durian Burong; SK Rengas Bekah; SK Pulau Rusa dan SK Bukit Losong.

“Program ini kita jalankan setiap tahun bagi membantu komuniti di kawasan EPIC Berhad beroperasi. Semoga dapat meringankan beban kewangan keluarga mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya