Kempen CSR Jasmine Food kumpul lebih RM270,000 untuk bantuan kemanusiaan Gaza

Kempen CSR Jasmine Food kumpul lebih RM270,000 untuk bantuan kemanusiaan Gaza

KETUA Pegawai Operasi Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd, Alan Kwong menyerahkan cek bernilai RM270,000 kepada Pertubuhan Bantuan Perubatan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) #SinarUntukGaza anjuran Jasmine Food telah berjaya mengumpul dana kemanusiaan melebihi RM270,000 bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang terjejas akibat
konflik berterusan.

Kempen yang dilaksanakan sejak awal tahun ini mendapat sokongan daripada pengguna, rakan niaga serta peruncit di seluruh negara melalui penyertaan dalam pembelian produk terpilih.

Sebagai simbol kejayaan fasa awal kempen tersebut, satu majlis penyerahan sumbangan telah diadakan hari ini melibatkan penyaluran dana kepada MERCY Malaysia dan rakan kerjasama strategik, Cinta Gaza Malaysia, bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan termasuk penyediaan keperluan asas, bantuan perubatan serta pemulihan komuniti di Gaza.

Ketua Pegawai Operasi Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd., Alan Kwong berkata, kejayaan kempen itu mencerminkan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata sumbangan yang dikumpulkan hasil penyertaan orang ramai melalui pembelian harian menunjukkan peranan sektor perniagaan dalam menyokong usaha bantuan kemanusiaan secara berterusan.

“Sokongan yang diterima amat menggalakkan dan kami menghargai peranan semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan pencapaian itu, Jasmine Food akan meneruskan kempen berkenaan sehingga Jun 2026 dengan tumpuan diperluas ke beberapa negeri Pantai Timur, termasuk Kelantan dan Terengganu, bagi membolehkan lebih ramai pengguna mengambil bahagian.

Menurut Alan, lanjutan kempen tersebut bertujuan mengekalkan kesedaran awam terhadap situasi kemanusiaan di Gaza di samping meneruskan sumbangan kepada organisasi bantuan yang terlibat.

Kempen itu dijalankan menerusi pembelian Beras Era Cap Sinar Timur, dengan sebahagian hasil jualan disalurkan kepada tabung bantuan kemanusiaan Gaza.

Alan memaklumkan usaha berkenaan selaras dengan komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta menyumbang kepada masyarakat melalui kerjasama dengan organisasi kemanusiaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN