PETALING JAYA: Industri perbankan Malaysia komited membantu keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Nepal menerusi penangguhan bayaran balik pinjaman dan pengaturan pembayaran secara fleksibel bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung waris.
Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) berkata, bantuan berkenaan mula dilaksanakan sejak awal Oktober lalu bagi menyokong keluarga mangsa yang terjejas akibat tragedi itu.
Menurutnya, bank-bank ahli ABM turut menghubungi keluarga mangsa bagi mengenal pasti keperluan mereka dan memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan.
“ABM memahami tekanan dan ketidaktentuan yang dihadapi keluarga serta waris susulan kejadian tanah runtuh berkenaan, khususnya ketika menantikan perkembangan mengenai insan tersayang yang masih hilang,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, persatuan berkata, kebajikan keluarga terjejas kekal menjadi keutamaan industri perbankan, selain menghargai usaha semua pihak yang bekerjasama bagi memastikan mereka menerima sokongan sewajarnya.
Katanya, bagi memudahkan urusan mendapatkan bantuan, pihak ABM turut melantik pegawai perhubungan khusus untuk membimbing waris yang terjejas.
“Pegawai berkenaan bertanggungjawab menyelaras permohonan keluarga serta membantu mereka menguruskan dokumentasi dan proses pentadbiran yang diperlukan bagi mendapatkan bantuan.
“Pihak ABM bersama bank-bank ahli akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan semua pihak berkaitan bagi membantu keluarga terjejas,” katanya.
ABM turut menegaskan komitmen untuk memastikan keluarga mangsa diberikan perhatian sewajarnya dengan penuh keprihatinan, belas ihsan dan rasa hormat sepanjang usaha membantu mereka dilaksanakan.-UTUSAN











