Asah kepemimpinan pelajar

Asah kepemimpinan pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUANG ke lapangan berjumpa penduduk setempat menjadi platform terbaik dalam mengasah bakat kepemimpinan pelajar.

Pada masa sama, inisiatif berkenaan dapat meningkatkan kemahiran komunikasi berkesan dengan masyarakat.

Demikian antara pengalaman tidak dapat dilupakan pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam, Afiqah Izzazi Sabri sepanjang tiga hari di Kampung Sejantung, Kampung Pasir Putih dan Kampung Titiwangsa di Kalumpang, Hulu Selangor.

Paling mencabar, kesemua peserta terdiri daripada 42 pelajar, perlu mengeluarkan idea kreatif, realistik dan mudah dalam menangani isu dan permasalahan dikemukakan oleh penduduk.

Antara kajian lapangan dijalankan adalah melibatkan sekolah rendah agama, perkhidmatan chalet dan resort, Pondok Bustanul Asyrafiah, balai polis, surau dan kedai runcit.

“Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan tugasan wajib, mengenal pasti masalah, potensi tempat kajian lapangan dan seterusnya memberikan cadangan penambahbaikan yang boleh membantu perkembangan komuniti di Kalumpang.

“Melalui program ini, kami dapat berinteraksi secara efektif dengan golongan sasar dan memahami keperluan mereka dalam merancang setiap inisiatif terbaik,” katanya ketika menyertai
program Modul Kepimpinan Profesional (MKP) baru-baru ini.

Program anjuran Institut Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM itu dijalankan di Pusat Latihan dan Resort Kalumpang bulan lalu.

Peserta terdiri daripada pemimpin pelajar antaranya dari Kolej Alam Bina, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Persatuan Pendidikan Islam (IES) di samping jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Sekretariat Pelajar Kampus UiTM Shah Alam dan Puncak Alam.

Kongsi Afiqah Izzazi, segala kemahiran dipelajari itu adalah penting dalam mengasah kepemimpinan berkesan di semua bidang.

SEDIA KERTAS KERJA
Bagi Presiden Akademi Pengajian Bahasa (APB) Kampus Shah Alam, Muhammad Danial Iskandar Mohd. Ariff, beliau teruja dapat menyediakan kertas kerja dan cadangan penambahbaikan perkhidmatan chalet dan resort di situ.

“Memandangkan ini pengalaman baharu untuk kami, pihak fasilitator program banyak membantu memberikan maklum balas berhubung idea dikeluarkan.

“Kesemua ilmu ditimba, amat berguna untuk masa depan termasuk dapat melatih kemahiran berkomunikasi profesional dan bersahaja dalam sesebuah komuniti,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Zakwan Watiq menyarankan supaya program berkenaan diteruskan secara kerap kerana pendedahan diberikan boleh dipraktikkan di peringkat fakulti.

Bahkan, katanya, inisiatif tersebut dalam masa sama dapat mendorong pelajar untuk mencipta penyelesaian inovatif terhadap isu-isu atau potensi yang ada dalam komuniti.

“Ia membantu pelajar membangunkan kemahiran pemikiran kreatif dan proaktif yang merupakan antara ciri-ciri penting dalam memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.

“Pemimpin yang berinovasi mampu memberikan impak positif kepada masyarakat dan merangsang pembangunan berkesan,” katanya. -UTUSAN

 

*Artikel disumbang oleh Zaiha Ahmad merupakan Koordinator Kemahiran Insaniah, Institut Kepimpinan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya