Siapa bakal Olahragawan, Olahragawati 2022?

Siapa bakal Olahragawan, Olahragawati 2022?

ANTARA atlet-atlet yang bakal dinobatkan olahragawan dan olahragawati kebangsaan 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis berprestij Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 yang berlangsung malam ini, akan menjawab teka-teki pemenang Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, dengan persaingan mencabar bagi semua nama yang tercalon.

Kategori Olahragawan Kebangsaan menampilkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai pilihan utama, berdasarkan pencapaian menjadi pemain pertama Malaysia merangkul gelaran Juara Kejohanan Badminton Dunia 2022.

Penantian selama 45 tahun menjulang kemenangan dalam kejohanan tersebut sekali gus memberi kelebihan untuk mereka dinobatkan sebagai penerima anugerah kali ini.

Bagaimanapun, kedua-duanya menerima saingan daripada juara dunia bina badan 5 kali, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan juara Kejohanan Snuker Amatur Dunia 2022, Lim Kok Leong serta dua badang negara yang memenangi pingat emas di Sukan Komanwel 2022, Mohammad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan.

Bagi kategori Olahragawati Kebangsaan pula, pemenang dua pingat emas acara gimnastik berirama (gimrama), Ng Joe Ee dalam Sukan Komanwel 2022 turut meletakkannya di kedudukan teratas, mengatasi empat calon lain.

Joe Ee berdepan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg yang meraih pingat gangsa acara 10 meter (m) individu dalam Kejohanan Terjun Dunia (FINA) 2022 dan Nur Dhabitah Sabri yang memenangi dua pingat emas (3m individu dan 3m papan anjal seirama) dalam Sukan Komanwel 2022.

Dua calon lain hadir dari sukan muay thai, menerusi Nur Amisha Azrilrizal yang memenangi pingat perak acara 51 kilogram (kg) dalam Kejohanan Muaythai Dunia 2022 dan atlet petanque, Nur Ain Syuhada Mohd Asri yang memenangi pingat gangsa acara perseorangan wanita dalam Kejohanan Dunia Petanque 2022.

Sementara itu, kategori Olahragawan Para Kebangsaan menyaksikan pemenang pingat emas dalam empat kejohanan 2022, Cheah Liek Hou mengetuai senarai calon, diikuti dua atlet powerlifting, Jong Yee Khie dan Bonnie Bunyau Gustin, pelumba basikal lebuhraya, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin serta atlet renang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli.

Olahragawati Para Kebangsaan pula menyaksikan saingan daripada pemenang pingat emas renang Sukan Para ASEAN 2020, Brenda Anellia Larry yang berdepan cabaran rakan sepasukan, Carmen Lim dan atlet olahraga, Nani Shahiera Zawawi.

Selain itu, sembilan lagi anugerah turut dipertandingkan iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Anugerah yang berlangsung di Hotel Dorsett Grand Subang itu akan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semestinya menjadi kenangan manis kepada penerima anugerah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya