BALING: Seorang ibu merayu anaknya kembali ke pangkuan keluarga setelah menghilangkan diri sejak empat tahun lalu.
Habibah Awang, 53, berkata, anak sulungnya, Muhamad Nur Haris, 26, pergi tanpa meninggalkan pesan dan sejak itu pelbagai usaha dilakukan namun anaknya itu tidak ditemukan.
“Muhamad Nur menghilangkan diri empat tahun lalu, kami tidak tahu ke mana dia pergi, entah hidup ataupun mati, tiada langsung khabar beritanya.”
“Puas kami mencari, pelbagai usaha kami lakukan, bertanya ahli keluarga lain, rakan-rakannya, penduduk kampung dan sebagainya, namun kelibat bayangnya pun kami tidak temui.
“Dia meninggalkan rumah pada Disember 2018, kami sangkakan dia pergi untuk kerja-kerja sukarelawan bersama Jabatan Amal Malaysia kerana dia seorang ahli yang aktif dengan kerja-kerja sukarelawan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Samak, Kuala Ketil, semalam.
Menurut Habibah, anaknya itu sering keluar berminggu-minggu jika dia menyertai aktiviti Jabatan Amal dan akan pulang setelah selesai, namun kali ini dia tidak pulang sehinggalah sekarang.
Mereka menyedari kehilangan anaknya itu setelah dua minggu dia keluar rumah dan rakan-rakan anaknya datang mencarinya dan mereka menyatakan tidak nampak Muhamad Nur sejak beberapa hari lalu ketika itu.
“Setelah menyedari kehilangannya kami berusaha mencarinya di merata ceruk, cuba menghubungi talian telefonnya namun talian dimatikan, kami juga ada berikhtiar secara perubatan Islam, namun masih gagal mengesannya.”
“Sebelum hilang kami tiada perselisihan faham dan tidak tahu kenapa dia menghilangkan diri,” kata Habibah.
Katanya lagi, dia semakin risau apabila suaminya Haris Jaafar, 63, kini lumpuh dan terlantar sejak tujuh bulan lalu dan merindui Muhamad Nur.
Habibah juga mengidap penyakit asma dan urusan penjagaan suaminya itu ditanggung dan diurus anak bongsu mereka, Hafiz Hidayat Haris, 19.
Mereka juga mengharapkan bantuan bulanan RM500 daripada pejabat zakat dan anak kedua mereka yang bekerja kampung.
Habibah mengharapkan sesiapa yang mengetahui di mana anaknya itu boleh menghubungi 014- 2499543. – UTUSAN











