Ambil perhatian isu doktor mogok

Ambil perhatian isu doktor mogok

Kertas Putih Kesihatan bertujuan menambah baik sistem kesihatan negara. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu beri perhatian terhadap tindakan mogok doktor kontrak de­ngan meyakinkan orang ramai bahawa semua perkhidmatan ke­sihatan awam tanpa gangguan termasuk masalah kekurangan petugas kesihatan.

Presiden Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata, orang ramai ma­sih bimbang dengan tindakan mogok dan isu berkenaan per­lu ditangani segera Kementerian Kesihatan.

Jelas beliau, MMA mene­rima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang bimbang dengan tindakan mogok tersebut.

“Tetapi kami berharap, Ke­men­terian Kesihatan melalui me­sej yang lebih kerap diuar-uarkan menerusi kenyataan akh­­­bar dan kemas kini media sosial, akan meredakan kebimba­ngan itu dan meyakinkan orang ramai semua perkhidmatan pen­jagaan kesihatan awam disedia tanpa sebarang gangguan.

“Ini kerana MMA menerima panggilan daripada orang ramai yang bertanyakan sama ada kemudahan penjagaan kesihatan awam beroperasi seperti biasa hari ini. Kami memberikan jaminan kepada mereka ia sememangnya beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, satu kumpulan yang dikenali Mogok Doktor Malaysia tetap dengan pendirian melancarkan mogok di seluruh negara bermula Isnin sehingga Rabu meskipun berdepan risiko dikenakan tindakan tatatertib.

Selain itu, tindakan tersebut juga bakal melumpuhkan sektor kesihatan terutamanya di wad kecemasan hospital kerajaan.

Mereka mengambil pendirian itu kerana kerajaan masih membisu berhubung beberapa isu termasuklah masalah lantikan ke jawatan tetap yang berlarutan lebih tujuh tahun.

Ahad lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi ekoran daripada rancangan mogok.

Mogok Doktor Malaysia, yang merupakan gerakan baharu doktor kontrak selepas Hartal Doktor Kontrak memulakan protes terhadap kerajaan bermula semalam.

Sementara itu, Menteri Kesihatan,  Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerajaan akan mempertimbang tindakan-tindakan tertentu terhadap doktor-doktor lantikan kontrak yang mungkin terlibat dalam rancangan mogok selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau memberitahu, sebagai penjawat awam, pegawai perubatan juga tertakluk kepada integriti dan etika perkhidmatan awam.

“Saya sudah beritahu sebelum ini, mereka tertakluk kepada integriti sebagai penjawat awam dan etika perkhidmatan awam. Apapun, kita akan ada pertimbangan (tindakan terhadap mereka),” katanya ringkas ketika ditemui di Parlimen semalam.

Dalam pada itu, kata Zaliha, kementerian sentiasa dalam mod bersedia untuk berdepan apa jua keadaan termasuk menangani isu melibatkan doktor-doktor kontrak yang mula melancarkan mogok tidak hadir kerja.

“Semua terkawal setakat pemantauan hari ini. Kita (kerajaan) tetap dalam mod siap siaga. Apa yang penting ialah perkhidmatan kepada pelanggan atau pesakit pesakit yang menjadi keutamaan kerajaan. Sebab ia berkait dengan nyawa manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Muruga Raj memberitahu, tiada mogok doktor kontrak di semua fasiliti kesihatan awam di seluruh negara yang dikatakan berlangsung selama tiga hari sehingga Rabu ini.

Namun tegas beliau, mesej mengenai isu mogok doktor kontrak sehingga menimbulkan panik dan kebimbangan tersebar di media sosial perlu dijelaskan dengan kaedah yang betul daripada pihak berkuasa.

“Setakat ini, pemeriksaan MMA hari ini, tiada mogok yang berlaku di mana-mana pusat kesihatan awam di seluruh negara.

“Kami menasihatkan orang ramai untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima dan hanya mempercayai sumber yang boleh dipercayai untuk sebarang berita atau kemas kini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN